Selepas keluaran edisi Nasi Lemak, KLCC dan Teh Tarik, kali ini ASICS dan SneakerLAH berkolaborasi bersama Mamee Monster untuk memperkenalkan ASICS Skyhand OG Mamee Monster pula.
OHBULAN! telah dijemput oleh pihak ASICS ke majlis pelancaran edisi kasut terbaharu mereka di Kilang Makanan Mamee SDB BHD, Melaka. Bukan saja berpeluang melihat sendiri kasut sneaker edisi terbaharu ini, malah, kami juga dapat melawat dan melihat proses penghasilan makanan mamee juga.
Mamee imbau zaman kanak-kanak
Makanan jenama Mamee sudah menjadi kegemaran zaman kanak-kanak kita semua sehingga ke hari ini. Malah, ianya juga menjadi ikonik kepada budaya Malaysia dan nostalgia sejak tahun 1972 lagi. Oleh itu, ASICS bersama SneakerLAH dan Mamee bekerjasama dalam menghasilkan kasut ASICS Skyhand OG berinspirasikan daripada mascot Mamee Monster.
Mengenai ASICS Skyhand OG Mamee Monster
Pernahkah anda ulang-alik ke kedai runcit untuk membeli snek Mamee? Ya, inilah yang cuba diangkat menerusi reka cipta terbaharu keluaran ASICS, SneakerLAH dan Mamee demi mengembalikan kenangan dahulu. Jika diamati reka cipta keluaran kali ini, anda akan melihat tali kasut dicipta seakan bentuk mee dengan warna kuning. Malah, dibahagian tapak kasut juga kelihatan percikan warna biru pada permukaan kuning sebagai pelambangan kepada serbuk perisa snek Mamee Monster.
Tambahan, terdapat juga logo MonsterLAH pada belakang kasut sebagai presentasi SneakerLAH dan reka cipta salutan warna perak sebagai simbolik kepada plastik bungkusan serbuk Mamee sendiri.
Kolaborasi terdahulu
Untuk pengetahuan anda, ASICS dan SneakerLAH sebelum ini pernah berkolaborasi bersama beberapa pihak dalam menghasilkan kasut sneaker bertemakan ‘Malaysia’. Kolaborasi ini adalah bertujuan dalam mengangkat kekayaan warisan, landskap tempatan, makanan dan tradisi Malaysia.
Antaranya kolaborasi yang telah dihasilkan termasuklah GEL-Kayano 5 OG Nasi Lemak (2019), GEL-LYTE III Kuala Lumpur Twin Towers (2020) dan GEL-LYTE III Teh Tarik (2022).
Jom usha harga pula
Harga untuk sepasang kasut sneaker ASICS Skyhand OG Mamee Monster ini adalah RM629 dan ianya edisi terhad. Anda boleh dapatkannya di acara SneakerLAH pada 2 dan 3 November 2024 ini di MITEC, Kuala Lumpur. Tetapi kalau terlepas peluang ini, jangan risau sebabnya anda boleh memesan terus di laman sesawang ASICS.com pada November nanti.
Tapi sebelum itu apa kata anda tonton dahulu video unboxing ASICS Skyhand OG Mamee Monster daripada kami.