Pihak Astro sekali lagi berbesar hati menampilkan program hiburan berbentuk permainan menarik di saluran Astro Ria, iaitu RM1,000,000 Money Drop untuk musim kedua, dan ujibakat rancangan akan bermula 1 September ini di beberapa lokasi terpilih.
Untuk musim kedua, pihak Astro masih lagi mengekalkan konsep yang sama iaitu fikir, labur dan menang. Keunikan rancangan ini adalah, untuk menguji kepintaran para peserta dalam aktiviti pelaburan. Para peserta akan diberikan masa selama 60 saat untuk melaburkan wang yang mereka miliki di petak jawapan yang betul dan sekiranya jawapan tersebut betul, pelaburan mereka boleh diteruskan pada soalan seterusnya atau pulang dengan tangan kosong.
Menurut Pengurus Saluran Astro RIA, Encik Raqim Ahmad, pihak Astro Ria amat berbangga dengan sambutan yang diberikan oleh penonton sebelum ini.
“Astro Ria amat berbangga dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada para penonton terhadap program ini pada musim lalu. Ternyata eskperimen kami dalam menyiarkan program hiburan berbentuk permainan yang menguji kepintaran peserta dan kebijaksanaan melabur mendapat tempat yang baik di kalangan penonton,” ujar Encik Raqim Ahmad.
Pihak Astro akan memulakan sesi ujibakat di beberapa negeri terpilih iaitu Pulau Pinang, Terengganu, Johor dan Kuala Lumpur.