Meskipun hampir 38 tahun Wings kekal mewarnai industri hiburan namun, persembahan yang ditunjukkan vokalisnya iaitu Datuk Awie dilihat masih lagi berkualiti dan bertenaga malah sentiasa memberikan yang terbaik buat para peminatnya di atas pentas.
Artikel Berkaitan: Harga Bermula Serendah RM95, Konsert Wings: The Rock Emperor Tawar Tiket Rahmah Buat Peminat
Penyanyi perlu jaga kesihatan
Ketika ditemui OhBulan!, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, kesihatan yang baik menjadi faktor untuk utama yang dapat membantu setiap penyanyi memberikan yang terbaik di atas pentas meskipun sudah sekian lama bertapak di dalam industri hiburan.
Tambah Awie, setiap penyanyi perlulah cepat mendapatkan rawatan dari pihak yang sepatutnya apabila mendapati kesihatan diri mereka kurang memberangsangkan.
Jaga kesihatan. Perkara yang paling utama sebagai seorang penghibur ini ialah jaga kesihatan.
Kesihatan itu perlu diutamakan dan setiap kali diorang ni sakit kena cepat-cepat pergi jumpa doktor. Ambil ubat yang betul.
Janganlah sakit pergi jumpa bomoh pula. Sebab kadang-kadang ada yang sakit dia pergi jumpa bidanlah, jumpa bomohlah. Tak boleh semua tu.
Macam baru-baru ini saya buat latihan dan saya bantai makan makanan pedas yang membuatkan kotak suara saya jadi lembik.
Saya terus cepat-cepat jumpa doktor untuk dapatkan rawatan, rehat secukupnya dan Alhamdulillah okay dah lepas tu.
Awie berkata mengenai perkara tersebut ketika ditemui sewaktu sesi beramah mesra bersama media di Sri Pentas pada petang Khamis.
Dalam pada itu, Awie turut menasihati mana-mana penyanyi untuk sentiasa mengamalkan penjagaan kesihatan yang baik pada setiap waktu dan bukan sahaja ketika ingin melakukan persembahan yang tertentu di hadapan peminat.
Macam contoh saya dan Wings akan ada konsert pada 16 Disember ini di Stadium Malawati Shah Alam. Bukan kerana konsert ini sahaja kami buat latihan dan sebagainya.
Jadi apa yang saya nak nasihatkan ialah para penyanyi perlu jadikan ianya sebagai satu amalan supaya kesihatan itu dapat terjaga.
Apa-apa pun yang penting ialah kesihatan serta latihan yang cukup merupakan keutamaan buat sesebuah band dan juga seorang peghibur itu sendiri.
Sekadar info, Wings bakal menggamatkan Stadium Malawati Shah Alam apabila akan mengadakan Konsert Wings: The Rock Emperor, Kuala Lumpur Chapter pada 16 Disember ini.
Buat peminat Wings, anda boleh buat pembelian tiket dengan harga serendah RM95 di wings.uberticket.asia.