Pelakon Ayda Jebat memilih untuk mengetepikan kerjaya lakonan buat seketika demi anak perempuannya, Ana Nayla.
Artikel Berkaitan: Anak Nangis Tak Henti, Ibu Ayda Jebat Nampak Lembaga Merangkak Dalam Bilik Hotel – ‘Orang Tua Kata Mata Budak Kecil Boleh Nampak’
Tak pasti sampai bila
Menurut Ayda, dia sudah berbincang dengan suami, Nabil Mahir untuk berehat dari berlakon sehinggalah sampai waktu yang tepat.
Mengakui lebih 10 tawaran terpaksa ditolak, Ayda, 30, menyatakan kerjaya dia kini sudah berubah iaitu sebagai ibu.
Kerjaya saya sekarang lebih kepada sebagai ibu. Saya berehat sekejap daripada dunia lakonan. Saya tidak pasti sampai bila, rasanya sampai saya sudah bersedia hendak kembali berlakon.
Sebenarnya, semuanya kerana anak. Saya mahu bagi masa, mungkin apabila Ana sudah pandai berjalan. Jadi, masa itu, selesa sikit untuk saya tinggalkan dia.
Jujurnya, banyak juga tawaran yang saya dapat sebab sudah lama tidak berlakon. Rasanya kali terakhir adalah drama bersama Remy Ishak, Bukan Gadis Biasa sebelum pandemik COVID-19.
Ayda ditemui ketika majlis pelancaran wajah baharu jenama air mineral terkenal, Spritzer di Sunway Pyramid, baru-baru ini. Selain Ayda, pelakon sedang meningkat naik, Meerqeen juga dipilih menjadi ikon bersama.
Ramai yang belum jumpa anak
Tambah pemilik nama lengkap Nur Suhada Jebat, masih ada kenalan yang belum bersemuka dengan Ana biarpun umurnya sudah hampir 10 bulan.
Ditanya sama ada akan membawa Ana ke lokasi kerja, pelantun lagu Pencuri Hati menjawab tidak sama sekali.
Kami tidak akan bawa anak pergi bekerja. Malah, kami hendak keluar jumpa kawan pun jarang. Rasanya, hanya ada beberapa kawan yang pernah berjumpa Ana walaupun dia sekarang sudah hampir 10 bulan.
Ramai juga tanya bila hendak jumpa Ana, asyik tengok di Instagram (IG) sahaja. Tetapi kami masih belum bersedia membawa dia jumpa orang ramai.
Bawa ke pusat beli belah pun rasanya sekali atau dua kali sahaja… Itu pun tempat yang tidak ramai orang.
Dalam pada itu, pelakon drama Cindai masih menetapkan setiap individu yang ingin bertemu dengan mereka wajib melakukan ujian calitan Covid-19 terlebih dahulu.
Untuk perkembangan lain, Ayda bakal tampil dengan single baharu yang berjudul Tak Bisa Lepas.
Sekadar info, Nabil dan Ayda mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan Ana Nayla pada 21 September tahun lalu.
Sumber: Instagram @aydajebat