Penyanyi Azan Scan menafikan dakwaan yang mengatakan dirinya mula ‘hilang’ dari industri hiburan selepas menyertai program realiti, Gegar Vaganza 8 (GV8) pada tahun 2021 lalu.
Artikel Berkaitan: Wan Maimunah Sedih, Ditawar RM200 Berlakon Telefilem
Ada pihak ambil kesempatan?
Ketika ditemui OhBulan!, Azan atau nama sebenarnya Noorhazan Rashid berkata, dia terkilan apabila terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menawarkan harga yang tidak masuk akal untuk melakukan persembahan.
Saya tidaklah ‘hilang’ selepas menyertai program tersebut cuma agak terkilan bila ada pihak macam ambil kesempatan pada kita bila nak jemput buat ‘show’.
Atas alasan dah lama tak ‘perform’ jadi bajet yang diorang sediakan hanya sekian, sekian. Bila nak menjemput atau bagi tawaran, macam-macam pujian diberikan tapi bila tanya soal peruntukan mereka bagi bermacam-macam alasan.
Boleh saya katakan saya tak aktif adalah sebab bajet yang ditawarkan pada saya kurang memuaskan.
Dalam pada itu, vokalis kumpulan Scan itu memaklumkan bahawa kumpulannya pernah ditawarkan dengan harga sebanyak RM1,500 untuk menyanyi selama satu jam.
Kumpulan Scan pernah ditawarkan sebanyak RM1,500 untuk buat persembahan selama satu jam.
Agak-agaklah kan? Kalau dapat tawaran RM1,500 untuk saya seorang pun saya tolak.
Bukan kami ini nak ‘demand’ ke apa, tapi sekurang-kurangnya hormat kami sebagai seorang yang bekerja dan mencari duit.
Jadi, saya terpaksa menolak banyak kerja yang ditawarkan sebab saya pun nak jaga harga kawan-kawan kita yang lain juga.
Azzan berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media Konsert Rock Legend Berzaman yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada Rabu.
Ketika ditanya mengenai isu tawaran rendah yang diberikan kepada selebriti veteran, penyanyi berusia 51 tahun itu berpendapat, pihak penganjur perlulah memberikan tawaran yang sesuai bagi menjaga air muka seorang artis.
Isu ini bukan dalam kalangan penyanyi sahaja, pelakon senior pun ada berdepan dengan situasi lebih kurang sama.
Saya jadi tak faham pun ada. Mereka ini tahu atau tidak tahu siapa yang mereka jemput itu?
Pada saya kalau tak ada bajet jangan beri sebarang tawaran yang tak masuk akal. Sekurang-kurangnya dapatlah jaga air muka kami ini.
Sekadar info, Azan bakal menjayakan Konsert Rock Legend Berzaman bersama lapan lagi penyanyi rock lagenda tanah air.
Konsert tersebut bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 3 Mac nanti dan membariskan artis terkenal antaranya Muss, Zamani Slam, Amir Ukays, Ezad Lazim, Shidi Data, Azan Scan, Poey Sting serta Hazama.