Seorang wanita tidak menyangka pesanan suaminya beberapa minggu lalu menjadi tanda sebelum lelaki itu ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, pada Selasa.

Artikel Berkaitan: Pelajar Sekolah Terjatuh Dari Tingkat Satu Selepas Putus Cinta

Artikel Berkaitan: Siasatan Punca Kematian Zara Qairina Diteruskan, Mungkin Jatuh Sebab Melompat Atau Menghayunkan Badan

‘Banyak kali dia beri bayangan’

Memetik laporan Berita Harian, isteri mangsa iaitu Nurul Natasha Amyra Ishak, 19, suaminya, Elmi Nu Zamani Aizat Abdul Azim, 25, sering menunjukkan perubahan pelik sejak beberapa minggu sebelum kejadian.

Beberapa minggu lalu suami berpesan supaya tidak sesekali beri anak kepada orang lain jika dia tiada dan mahu saya jaga sendiri.

Banyak kali dia beri bayangan mahu ‘pergi’ dan beritahu bahawa dia sudah tidak lama di dunia ini malah tidak pernah mengajak saya beli pakaian bayi kami yang bakal lahir.

Dia beritahu ‘baba akan jumpa baby dulu di alam sana, sebelum mama jumpa (selepas lahir).

Arwah tunjuk banyak petanda mahu ‘pergi’ tetapi kami yang tidak sedar.

Pada hari kejadian, Nurul memaklumkan suaminya keluar rumah dengan membawa bungkusan pakaian, dipercayai menuju ke kedai dobi. Sekitar 7 petang, dia menerima panggilan telefon sebelum diberitahu oleh pihak polis mengenai operasi mencari mangsa.

Saya hanya tahu dia cuci baju selepas bungkusan pakaian itu ditemukan di atas jambatan semasa kejadian.

Saya terima panggilan pada jam 7 malam daripada rakan suami namun saya cuba bertenang sehinggalah saya dihubungi polis yang memaklumkan operasi pencariannya.

Kena gangguan mistik

Ujar Nurul, rumah tangga mereka berada dalam keadaan baik malah tidak berlakunya perbalahan antara dia dan suami. Namun mengakui, suaminya mengalami gangguan berbentuk mistik sejak tinggal di rumah lama di Bagan Serai.

Sebelum ini, kami tinggal di Bagan Serai dan dia sudah mengalami gangguan di rumah itu. Arwah beritahu ada ramai orang mencarinya dan dia tidak tahu hendak ke mana.

Saya pula tidak mahu percaya kerana takut jatuh syirik namun kerana bimbang ia akan mengganggu dua anak, kami ambil keputusan berpindah ke rumah ibu di Bertam.

Minggu lalu saya ikut suami ke Kuala Lumpur bagi mencari kerja, ketika melepasi Terowong Menora di Lebuhraya Utara-Selatan, dia secara tiba-tiba berhentikan kereta di jalan raya sebelum mengadu sakit kepala dan menghentak kepalanya beberapa kali.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Taiping selepas meracau, sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya.

Dalam pada itu, Nurul berkata fikirannya mula terganggu selepas dikecam warganet susulan berita kehilangan suaminya tular, lebih-lebih lagi ketika dia kini hamil anak ketiga dan dalam masa sama menjaga dua anak kecil.

Ibu mangsa, Rina, 46, turut menceritakan perbualan terakhirnya dengan anaknya melalui panggilan video.

Arwah minta supaya saya tidak risau dan dia hidup gembira bersama keluarga kecilnya selain minta saya jaga diri kerana dia sudah hendak ‘pergi’ dan saya sangka dia hanya mahu ke dobi untuk cuci baju.

Pakaian yang ditemukan di tempat kejadian juga masih berbau wangi, mungkin dia baharu balik dari dobi.

Saya minta orang ramai hentikan sebarang cerita tidak benar, mereka pasangan bahagia dan jika ada perselisihan faham kecil itu perkara biasa.

Terdahulu, media melaporkan penemuan mayat selepas mangsa dilaporkan terjatuh di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan mayat ditemukan kira-kira lapan kilometer dari lokasi dipercayai jatuh.

Sumber: Berita Harian