Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat laporan polis berhubung video dakwaan fitnah dan tohmahan yang ditularkan seorang individu di Facebook berhubung isu pihak berkuasa didakwa menutup sebelah mata terhadap premis perniagaan yang menjalankan kegiatan perjudian dan rokok seludup.
Artikel berkaitan: ‘Itu Adalah Fitnah’ – Ketua Polis Sungai Buloh Jawab Isu Video Viral
Terbaru, menerusi laporan Harian Metro, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, memberitahu tindakan tegas pasti diambil terhadap mereka yang bersekongkol dalam aktiviti jenayah itu.
Sudah mula ambil tindakan
Menurut Abdul Hamid, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan mengambil tindakan segera bagi membanteras kegiatan perjudian dalam talian, penjualan rokok seludup dan aktiviti perniagaan warga asing di Sungai Buloh.
Bukit Aman sudah memulakan tindakan sebaik pendedahan mengenai kegiatan itu dibuat menerusi video oleh seorang peniaga, dipercayai penjual burger di kawasan Sungai Buloh. Bagus ada pihak yang berani dan ikhlas mendedahkan situasi sebenar di lapangan, dan kita bertindak segera ke atas semua kegiatan yang salah ini.
Tidak berpuas hati
Terdahulu, seorang individu yang didakwa pentadbir akaun Facebook Hot Burger Malaysia, dipercayai tidak berpuas hati atas tindakan penyitaan ke atas gerai burger miliknya yang dilakukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Oleh itu, individu berkenaan telah merakam dua video berhubung premis perniagaan diusahakan warga Aceh ‘kebal’ kerana tidak dikenakan tindakan atas kesalahan menjual rokok seludup.
Sumber: Harian Metro