Baju berwarna putih memang diketahui sukar untuk dijaga dengan baik dan rapi. Secara lazimnya, baju berwarna putih ini memang mudah untuk kelihatan kotor jika terkena sebarang benda malah akan menjadi kekuning-kuningan jika disimpan terlalu lama.
Namun mungkin anda tidak perlu lagi risau selepas ini jika perkara itu berlaku. Apa kata baca perkongsian yang dibuat laman Facebook Dobiru ini tentang cara untuk memutihkan semula baju putih anda dengan hanya menggunakan bahan yang mudah.
1. Perahan lemon
Perahan lemon mampu memutihkan baju. Rendamkan baju di dalam baldi dengan air bersih. Pastikan baju terendam sepenuhnya. Ambil 1-2 biji lemon (keperluan lemon bergantung kepada kuantiti baju) dan perahkan ke dalam rendaman tadi.
Selesai perah, lemon tadi pun anda masukkan juga ke dalam rendaman dan kacau rata. Rendam selama 10 minit sahaja. Jangan lebih tau. Kemudian, lakukan cucian seperti biasa.
2. Pes atau cecair pencuci pinggan
Untuk menghilangkan kesan sambal pada baju, anda boleh cuba gunakan pes atau pencuci pinggan terus pada kotoran tersebut. Sapu pes pada bahagian yang terkena sambal tadi dan biarkan 15-20 minit. Selepas itu, cuci seperti biasa.
3. Sabun mandi
Untuk menghilangkan kotoran degil, anda basahkan keseluruhan baju terlebih dahulu dan gosokkan sabun mandi yang jenis buku terus pada bahagian kotoran.
Gunakan berus baju yang lembut dan gosokkan pada bahagian yang kotor tadi. Seterusnya, cuci macam biasa.
4. Susu pekat
Kesan dakwat pen pada baju memang sukar untuk dihilangkan. Kadang tu dah guna peluntur pun masih ada. Jadi, sebelum anda gunakan sebarang bahan untuk mencuci kesan pen tersebut, ambil 3 sudu susu pekat dan campurkan sedikit bersama air. Alihkan bancuhan tadi ke atas kesan pen dan biarkan selama sejam. Selepas itu, cuci dengan sabun seperti biasa.
5. Marjerin
Untuk hilangkan kesan minyak pada pakaian, gunakan majerin. Eh! bukan lagi akan berminyak ker? Tak lah, marjerin adalah sejenis lemak tepu. Caranya adalah dengan sapukan sedikit marjerin pada bahagian yang terkena minyak dan biarkan beberapa minit.
Sebelum mencuci, sediakan air suam dan rendam baju tadi dengan air suam untuk dibersihkan sepenuhnya sapuan marjerin tadi. Jika masih tidak bersih sapuan marjerin tadi, cuci beberapa kali dengan air suam. Selepas itu, anda boleh cuci seperti biasa.
6. Tepung
Tepung adalah pilihan terbaik untuk mencuci kesan minyak pada pakaian. Campurkan beberapa sudu tepung dengan air. Pastikan kelikatan campuran menjadi seperti pes ubat gigi dan sapukan pada bahagian yang gerkena minyak. Biarkan pes tadi mengeras dan bersihkan sebelum dicuci seperti biasa.
7. Limau nipis
Baju putih mudah terkesan dengan lunturan warna dari pakaian lain. Rendam baju dalam air panas. Ambil beberapa biji limau (5-10 biji) bergantung kepada berapa banyak baju dan kesan lunturan tadi. Perah limau nipis ke dalam air panas yang mengandungi baju tadi, campurkan sedikit sabun basuh. Kacau dan rendam dalam sejam. Selepas itu bilas seperti biasa.
Sumber: Facebook DoBiru