Untuk pengetahuan semua, bermula 13 Januari 2025 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memulakan agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 untuk setiap murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 bagi sesi persekolahan 2024/2025.
Inisiatif ini merupakan salah satu usaha kerajaan untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka.
Menurut kenyataan KPM, Kerajaan MADANI melalui Bajet 2025 telah memperuntukkan RM791.25 juta untuk pembayaran BAP kepada lebih 5.2 juta murid di seluruh negara. Ini merupakan bayaran sekali sahaja (one-off) dan akan memberi manfaat kepada pelajar di seluruh negara.
BAP turut disalurkan kepada pelajar Tingkatan 6
Jika sebelum ini penerima BAP hanya terdiri daripada pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 5, pada tahun ini BAP diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 6.
Pelajar Tingkatan 6 Semester 2 dan murid Tahun 1 bagi sesi persekolahan 2025/2026 akan menerima bantuan ini bermula 16 Februari 2025. Sementara itu, pelajar Tingkatan 6 baharu akan menerima bantuan ini pada 1 Julai 2025.
Kaedah agihan dipermudahkan
Lebih menarik lagi, KPM turut memaklumkan bahawa BAP pada tahun ini akan diagihkan melalui beberapa kaedah.
Di sekolah rendah, agihan akan dilakukan melalui serahan kepada ibu bapa, manakala di sekolah menengah, agihan boleh dibuat terus kepada murid atau ibu bapa.
Penyerahan cek BAP telah diadakan di 9 negeri
Kalau korang nak tahu, majlis penyerahan cek BAP telah diadakan di 9 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Perak, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Sabah.
YB Fadhlina Sidek, telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Bantuan Awal Persekolahan 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Auditorium Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL). Sebanyak RM34,113,450 diperuntukkan untuk manfaat 227,423 murid di Kuala Lumpur.
“Kerajaan MADANI berusaha membantu persiapan persekolahan anak-anak dan meringankan beban kewangan ibu bapa,” kata YB Fadhlina dalam ucapannya.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah binti Dr Wan Ismail dan beberapa wakil Ahli Parlimen Kuala Lumpur.
Di Sabah, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, YB Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya, telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek BAP Tahun 2025 Peringkat Negeri Sabah di SK Sembulan, Kota Kinabalu. Sebanyak RM74,481,150 diperuntukkan bagi manfaat 496,541 murid di 1,295 buah sekolah.
Selain itu, Majlis Penyerahan Cek BAP Tahun 2025 bagi Negeri Perak pula berlangsung di SJKC Wan Hwa I, Ipoh, dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh. Majlis tersebut menyaksikan sumbangan RM53.1 juta yang memberi manfaat kepada lebih 354,000 murid dari 1,101 sekolah di negeri tersebut.
Bantuan Awal Persekolahan 2025 adalah bukti keprihatinan kerajaan dalam memastikan semua murid mendapat peluang yang sama untuk memulakan sesi persekolahan tanpa halangan kewangan.
Inisiatif ini tidak hanya meringankan beban ibu bapa, tetapi menyokong hasrat kerajaan untuk memperkasa pendidikan di setiap peringkat, termasuk pelajar Tingkatan 6.