berita

Bapa Sanggup Bawa Anak OKU Lakukan Samun, Ugut Bunuh Anak Elak Ditangkap

December 23rd, 2020 | by AnisAffandi
Kini Trending

Seorang lelaki ditahan melakukan tiga jenayah dalam masa tiga jam di Johor Bahru dan Pasir Gudang, semalam. Lelaki itu sanggup membawa anak lelakinya yang juga orang kelainan upaya (OKU) berusia empat tahun untuk melakukan beberapa siri jenayah bersenjatakan pisau panjang.

Tiga jenayah dalam masa tiga jam

Foto: Kosmo

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, lelaki itu turut bertindak mengugut untuk mencederakan anaknya dengan menggunakan pisau apabila ternampak kelibat pihak polis.

Setelah polis menerima maklumat berkaitan kejadian tersebut, operasi bersepadu dijalankan untuk memburu suspek yang ditemui di kediamannya, di Taman Air Biru, pada pukul 8 malam. Suspek yang menyedari kehadiran polis kemudian bertindak mendukung anaknya dan mengugut untuk membunuh anaknya jika polis menghampirinya.

Menurut laporan yang dipetik daripada Kosmo, kejadian pertama yang berlaku kira-kira 12.10 pagi semalam, lelaki itu sempat mengancam dan melarikan kereta milik seorang lelaki Indonesia di Taman Air Biru, Pasir Gudang. Selepas kejadian itu, pada pukul kira-kira 12.50 malam, suspek sekali lagi membawa anaknya untuk menyamun wanita gelandangan berusia 55 tahun itu. Suspek turut menculik mangsa itu selepas menyamunnya di Dataran Larkin.

Mangsa bagaimanapun berjaya melarikan diri selepas kenderaan tersebut kehabisan minyak dengan mendapatkan bantuan seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah sekitar Pasir Gudang,

Susulan itu, suspek kemudiannya sekali lagi membawa anaknya yang menghidap autisme itu untuk menyamun dua pekerja sebuah stesen minyak yang merupakan warga Bangladesh pada pukul 3 pagi. 

Terpaksa gunakan kekerasan

Sekadar gambar hiasan

Shahrulanuar Mushaddat turut berkata, pihak polis mengambil masa kira-kira dua jam untuk memujuk dan mententeramkan suspek. Namun, pihak polis gagal dan terpaksa menggunakan kekerasan untuk menyelamatkan anak suspek itu. 

Tambahnya lagi, pihaknya percaya suspek berada dibawah pengaruh dadah ketika melakukan jenayah tersebut dan dipercayai suspek mengalami masalah keluarga. Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan rompakan bersenjata dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan melakukan percubaan membunuh.

Sumber: Kosmo.

SKIP THIS AD ×