Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur sememangnya terkenal dengan lubuk makanan terutamanya pada bulan Ramadan. Namun, tahun ini pengunjung tidak lagi merasai kemeriahan di kawasan tersebut kerana bazar Ramadan di sepanjang Jalan TAR dipindahkan ke Jalan Raja.
Menerusi laporan Harian Metro, suasana bazar di kawasan baru agak lengang kerana banyak tapak perniagaan masih kosong meskipun 300 tapak telah disediakan. Biar betul?
Lokasi tidak sesuai
Menurut peniaga pakaian, Kamarulzaman Che Hashim, lokasi Jalan Raja tidak sesuai untuk dijadikan bazar kerana lagak jauh dengan kemudahan pengangkutan awam. Tambahnya, kesesakan lalu lintas akan turut berlaku ketika waktu puncak.
Sehingga jam 3 petang, tapak bazar ini masih belum penuh dengan peniaga, malah pelanggan juga tidak ramai yang mengetahui tapak baru ini.
Saya harap keputusan ini dapat dinilai semula tahun depan kerana Lorong Jalan TAR sudah dikenali setiap kali menjelang Aidilfitri sebagai lokasi beli-belah terkenal ibu kota.
Mempunyai alternatif laluan lain
Menurut pekerja swasta, Yudahaidil Ramlan pula berkata, kehadiran warden trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mampu mengawal keadaan lalu lintas di kawasan tersebut. Tambahnya, pengguna boleh guna pelbagai laluan lain bagi mengelak kesesakan di Jalan Raja ketika waktu puncak.
Aliran lalu lintas lancar namun hanya sedikit kesesakan berlaku di kawasan Dataran Merdeka disebabkan bas persiaran berhenti untuk menurunkan pelancong yang mahu merakam gambar kenangan di bangunan bersejarah.
Dengan adanya warden trafik dan polis trafik, kesesakan laluan keluar dari ibu kota pasti dapat diatasi,” katanya.
Menjaga kepentingan peniaga
Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata keputusan perpindahan ini dibuat bagi memberi keselesaan kepada pengunjung yang datang berurusan di sekitar kawasan Jalan Tar. Tambahnya lagi, keputusan tersebut diambil bagi menjaga kepentingan peniaga Melayu di kawasan tapak lama bazar Ramadan dan mengurangkan kadar kesesakan lalu lintas.
Kesemua peniaga dipindahkan ke kawasan Jalan Raja secara berperingkat sejak 15 Mac yang lalu. DBKL juga telah menjalankan kajian dalam talian berhubung penutupan jalan itu yang mana sebahagian besar responden bersetuju Jalan TAR perlu ditutup.