Peminat setia rancangan hiburan TV popular Korea, Running Man pastinya masih mengenali dan mengingati bekas ahli bagi program itu iaitu Kang Gary. Pada 2016, Gary telah membuatkan rata-rata peminat Running Man bersedih dan kecewa apabila dia mengumumkan bakal meninggalkan rancangan itu selepas 6 tahun bersama.
Bagaimanapun berita baik buat peminat bagi penyanyi itu apabila dia dikatakan bakal muncul semula dalam rancangan hiburan Korea yang lain dalam tempoh terdekat. Apa yang lebih mengujakan, penampilan Gary pada kali ini bukan dilakukan secara solo, malah dia akan membuat kemunculan semula bersama anak kesayangannya!
Muncul selepas 3 tahun
Menurut laporan portal hiburan Korea, Soompi, Gary akan muncul dan terlibat dalam rancangan The Return of Superman bersama anaknya, Kang Ha Oh. Perkara itu diumumkan sendiri oleh produksi bagi program tersebut, semalam.
Untuk makluman, ini merupakan kemunculan pertama Gary di televisyen dalam tempoh 3 tahun. Apa yang menariknya kali ini, Gary akan menampilkan sisinya yang lebih matang dengan status sebagai seorang bapa kepada anaknya yang berusia 26 bulan.
Dijangkakan, siaran pertama Gary bersama anaknya itu bakal ditayangkan di televisyen pada Februari depan.
Terima tawaran selepas lama berfikir
Sementara itu, Ketua Produser bagi rancangan The Return of Superman, Kong Bong Kyu berkata usaha untuk memujuk penyanyi Hip Hop itu tidak mudah. Katanya, pihak produksi sebenarnya sudah sekian lama ‘menjemput’ Gary untuk menyertai rancangan itu sebelum ini.
Saya rasa Gary sudah tidak muncul dalam rancangan televisyen kira-kira selama tiga tahun.
Sudah agak lama kami memintanya untuk menyertai rancangan ini, dan selepas berfikir untuk beberapa ketika dia akhirnya bersedia untuk menerima tawaran ini dan munculkan diri.
The Return of Superman merupakan sebuah rancangan realiti Korea yang sudah bersiaran sejak dari tahun 2013 di KBS. Dalam program ini, golongan bapa yang terdiri daripada selebriti Korea bertanggungjawab untuk menjaga anak mereka dalam tempoh 48 jam tanpa bantuan isteri mereka.
Rancangan ini telah mendapat sambutan luar biasa daripada penonton dari dalam dan luar negara, termasuklah Malaysia.