Bekas anggota polis, Mohamed Ya’cob Demyati yang membunuh penyanyi kumpulan Spoon, Allahyarham Along terlepas hukuman penjara seumur hidup selepas Mahkamah Persekutuan Putrajaya meminda hukuman tersebut kepada penjara 33 tahun.
Artikel Berkaitan: Lamaran Kahwin Ditolak, Wanita Selamba Rembat Barang Kekasih Cecah RM30k
Bebas hukukman penjara seumur hidup
Memetik laporan Harian Metro, keputusan dicapai panel hakim Mahkamah Persekutuan pada hari kedua persidangan pada Khamis selepas empat bulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023.
Dilaporkan, Mohamed Ya’cob Demyati, 57, sudah menjalani hukuman di Penjara Kajang selama 23 tahun sejak tarikh dia ditangkap pada 4 Januari 2000.
Keputusan sebulat suara diputuskan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas membenarkan permohonan semakan Mohamed Ya’acob selaku pemohon.
Turut sama bersidang ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Hasnah Datuk Mohammed Hashim, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.
Pada prosiding yang sama, Mahkamah Persekutuan mengetepikan hukuman kepada bekas anggota polis itu atas kesalahan membunuh Along atau nama sebenar Sabi’ul Malik Shafie yang terkenal pada era 90-an.
Mohamed Ya’cob sebelum ini diperintah menjalani hukuman mati namun ia diringankan kepada penjara sepanjang hayat selepas Lembaga Pengampunan membenarkan petisyen rayuannya.
Bagaimanapun, Mohamed Ya’acob terlepas daripada hukuman sebatan atas faktor usia kerana berumur lebih 50 tahun.
Pada 10 April 2002, Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhi hukuman mati selepas mendapati dia bersalah sepenuhnya dalam kejadian pembunuhan itu.
Pemohon adalah anggota cawangan pengawal pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dituduh membunuh Sabi’ul Malik yang ketika itu berusia 19 tahun di tepi jalan di Kilometer 28 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu pada jam 1 pagi, 26 Disember 1999.
Allahyarham Along yang popular dengan lagu Rindu Serindu Rindunya dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999.
Polis kemudian menjumpai rangka manusia yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang pada 6 Januari 2000.
Sumber: Harian Metro