Semalam, viral sebuah kisah mengenai seorang pesara tentera didakwa menikam isterinya sampai mati di Jalan Padang Nyu di Arau, Perlis.
Artikel Berkaitan: Cemburu Punca Jururawat Dibunuh Suami, Mayat Berlumuran Darah Dibalut Selimut Tebal
Terbaru, suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Direman tujuh hari
Menerusi laporan Harian Metro, perintah reman tersebut bermula hari ini hingga 7 Oktober. Suspek berusia 38 tahun dipercayai membunuh Munirah Abu Bakar, 31 yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dengan menikam mangsa di bahagian kiri dada isterinya dengan sebilah pisau.
Ujar Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi, pasangan itu dipercayai bergaduh di ruang tamu rumah tatkala mangsa sedang bersiap untuk keluar bertugas.
Suspek yang ‘naik angin’ selepas itu secara tiba-tiba mengambil pisau dan menikam dada mangsa.
Selepas membunuh mangsa, suspek dikatakan membawa wanita berkenaan ke dalam bilik utama dan menutup mayat mangsa dengan selimut tebal, kemudian menghantar dua anak berusia lapan dan 10 tahun ke rumah pengasuh.
Suspek kemudian menyerah diri dengan memaklumkan kejadian berkenaan di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis pada 10 pagi.
Sumber: Harian Metro