Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berada di rumah jika tiada urusan penting. Pada masa ini, ramai meluangkan masa di rumah dengan melakukan aktiviti memasak, mengemas rumah dan juga bersenam.
Namun, satu kejadian umpama mimpi ngeri buat seorang lelaki apabila dia didakwa ditetak jiran semasa melakukan aktiviti senaman di dalam rumah. Sumber Berita Harian melaporkan bahawa suspek berang kerana mangsa membuat bising ketika melakukan senaman.
Tak puas hati bunyi bising
Suspek mendakwa kerap mendengar bunyi bising seperti dinding rumah ditendang dari rumah mangsa sebelum suspek bertanya hal itu kepada mangsa.
Suspek juga mendakwa mangsa cuba menumbuknya menyebabkan dia menggunakan parang untuk mempertahankan diri.
Mangsa berusia 26 yang mengalami kecederaan parah di tapak tangan, lengan, bahu sebelah kiri serta tulang lengan kiri patah akibat ditetak suspek yang berusia 63 tahun itu. Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Sha, kejadian yang berlaku di Taman Kempas, Sungai Petani berpunca apabila suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan bunyi bising datang dari rumah mangsa yang berada bersebelahan rumahnya.
Suspek direman 6 hari
Mangsa dikatakan baru mula senaman pada hari kejadian, apabila mangsa keluar dan cuba menerangkan kepada suspek lalu berlaku pertengkaran hingga mangsa ditetak.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.
Selepas kejadian, suspek tampil ke Balai Polis Sungai Petani untuk membuat laporan. Hasil siasatan awal mendapati mangsa dikatakan sedang bermain alatan gym di bahagian ruang tamu sebelum mendengar teriakan suspek. Suspek telah ditahan pihak polis bersama sebilah parang miliknya dan direman enam hari. Mangsa berada dalam keadaan stabil dan bakal menjalani pembedahan pada tulang tangan kiri.
Sumber: Berita Harian, Wawa Chicaa