Gambar sekadar hiasan
Hanya kerana tidak berpuas hati dihina sebagai seorang penganggur dan kaki mabuk, seorang lelaki tergamak membunuh bapanya sendiri dengan menggunakan penyodok pasir di rumah mereka yang terletak di Jalan PJS10 pada awal pagi Sabtu.
Artikel Berkaitan: Dilabel Anak Tidak Membanggakan Punca Remaja Bunuh Ibu & Tetak Bapa Guna Parang
Balut dengan kain langsir, buang tepi jalan
Foto: Sinar Harian
Memetik laporan Harian Metro, suspek yang berada dalam keadaan mabuk kemudiannya bertindak membalut mayat bapanya itu dengan menggunakan kain langsir pada jam 12 tengah malam.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, suspek turut membuang mayat bapanya itu di tepi jalan.
Suspek yang dipercayai sudah dua tahun tidak bekerja itu pernah berkahwin kini tinggal bersama bapanya di rumah terbabit.
Motif pembunuhan dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang selalu menghina dan memberi tekanan kepada suspek yang malas bekerja.
Mangsa juga sering menegur suspek kerana dia gemar mengambil minuman beralkohol.
Sementara itu, hasil pemeriksaan yang dibuat di rumah mangsa, terdapat kesan tompokan darah di dinding serta pintu bilik mangsa.
Bukan itu sahaja, terdapat juga kesan seretan yang ditemui di ruang tamu rumah mangsa.
Tambah Fakhrudin lagi, suspek yang ditahan didapati mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan (pecah amanah) dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya.
Ujian air kencing ke atas suspek didapati negatif manakala keadaan kesihatan mental suspek masih dalam siasatan.
Suspek kini direman selama tujuh hari bermula pada Ahad lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: Harian Metro