Hendak seribu, tak nak seribu dalih. Demikian pepatah yang sesuai bagi menggambarkan tentang usaha seseorang yang ingin mencapai kejayaan yang diingini.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Netizen ‘Melting’ Lihat Ramai Oppa Pilot Kacak Di LIMA 2023 – ‘Jatuh Iman Berterabur…’
Berjaya di awan biru
Begitu juga dengan nasib seorang jejaka yang dikenali sebagai Muhammad Farid yang dahulunya bekerja sebagai kelindan lori kini berjaya menggapai cita-citanya untuk bekerja dalam bidang penerbangan.
Menurut Farid, 24, dia tidak menyangka kehidupannya berubah 360 darjah selepas mengikuti kursus Cabin Crew, Customer Service & Basic Ground Handling selama tiga bulan dari Kolej dan Pusat Latihan Teknikal Meatech yang terletak di Mantin, Negeri Sembilan.
Berbekalkan tekad untuk masa depan yang lebih cerah, Farid akhirnya beralih bidang dan kini bertugas sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelanggan di bawah Malaysia Airlines.
Selepas habis SPM saya terus bekerja sebagai kelindan lori, waktu itu fikir hanya untuk mencari duit. Tetapi kesan jangka panjang bekerja sebagai kelindan lori adalah masalah kesihatan kerana perlu mengangkat barang berat selain terlalu banyak duduk di dalam lori.
Jadi, apabila terlihat peluang untuk belajar selama tiga bulan, saya cuba walaupun ketika itu langsung tidak tahu tentang dunia penerbangan.
Alhamdulillah, saya belajar pada 2018 dan pada 2019 saya telah bekerja bersama Malaysia Airlines sebagai Ground Staff. Saya masih menimba ilmu kerana pada masa yang sama saya juga mencuba untuk menjadi seorang pramugara.
Tambah Farid, meskipun tidak mempunyai sebarang pengetahuan dalam bidang penerbangan tetapi pengambilan sijil di kolej tersebut telah membantu mempersiapkan dirinya untuk bekerja dalam bidang tersebut.
Saya suka bekerja dalam bidang penerbangan kerana selain suka melancong, minda saya semakin terbuka apabila berjumpa pelbagai ragam pelanggan dari seluruh dunia.
‘Dulu pemandu pelancong’
Sementara itu, seorang lagi alumni Kolej Meatech, Ainun Darayani Omar atau Dara, 28, yang sebelum ini merupakan seorang pemandu pelancong dan juga pembantu klinik veterinar tidak menyangka percubaannya untuk terjun ke dunia penerbangan membuahkan hasil.
Sebaik sahaja menamatkan kursus selama tiga bulan, Dara berkata dia terus ditawarkan pekerjaan sebagai pramugari dan kini telah tujuh bulan terbang di awan biru.
Sebelum ini saya bekerja di bidang pelancongan, tetapi kerana pandemik Covid-19 saya kehilangan kerja. Selepas itu, saya bekerja sebagai pembantu klinik veterinar. Walaupun pekerjaannya stabil tetapi saya kurang minat.
Oleh itu, saya cuba mengambil kursus tiga bulan dan tidak sangka terus dapat kerja selepas itu. Sejak bekerja sebagai pramugari banyak perubahan positif pada diri saya terutamanya daripada aspek disiplin dan juga kemahiran komunikasi.
Perkembangan agresif
Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Eksekutif Batik Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata, dia berbangga melihat perkembangan agresif industri penerbangan pada masa kini telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.
Difahamkan, syarikat penerbangan tersebut telah membuktikan perkembangan positif industri penerbangan kerana akan menambah 47 sehingga 50 pesawat pada tahun depan daripada 35 pesawat sedia ada.
Dalam pada itu, pada sebuah majlis Aviation Experience Day yang berlangsung sebelum ini, sekitar 1,000 bakal pelajar telah menghadiri program tersebut yang turut memuatkan sesi perkongsian pengalaman bersama felo Kolej Maetech iaitu Zarul Umbrella dan juga pekerja-pekerja industri penerbangan.
Selain itu, Kolej dan Pusat Latihan Teknikal Meatech turut menawarkan program diploma untuk pelajar lepasan SPM seperti Diploma Teknologi Penyelenggaraan Pesawat, Diploma Pengurusan Operasi Penerbangan, Diploma Pengurusan Penerbangan Kargo, Pra Diploma Operasi Penyelenggaraan Pesawat dan Sijil Kemahiran Operasi Penyelenggaraan Pesawat.