Dalam melayari alam pekerjaan, sangat penting untuk seseorang itu mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh majikan. Kesukaran untuk mendisiplinkan diri ketika menjalankan tugas mungkin boleh membuatkan rakan sekerja atau pihak atasan tidak berpuas hati terhadap prestasi pekerja terbabit sehingga sanggup mengenakan hukuman yang kadang-kala di luar jangkaan.
Baru-baru ini, seorang individu teruk ditikam rakan sekerjanya sendiri gara-gara sikapnya yang dikatakan sering tidak menepati masa sewaktu menjalankan tugas.
Hilang sabar
Menerusi laporan Astro Awani, mangsa telah ditikam di beberapa bahagian di tubuhnya sehingga cedera parah oleh ‘rakan’ yang juga merupakan ketua kumpulan kerjanya.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Jafri Md Zain, kejadian kira-kira jam 1:30 petang itu berlaku selepas suspek dikatakan tidak berpuas hati dan berang dengan mangsa serta beberapa pekerja lain yang didakwa tidak menepati masa ketika menjalankan tugas.
Katanya, siasatan awal turut mendapati suspek bertindak demikian selepas hilang sabar kerana sudah beberapa kali membuat teguran terhadap mangsa namun diabaikan.
Berdendam
Menurut Jafri, kejadian yang terjadi di sebuah syarikat penghantaran barang di Balik Pulau itu berlaku ketika mangsa baru sahaja tiba untuk masuk bekerja.
Jelasnya, suspek dikatakan memang berdendam dengan mangsa dan beberapa pekerja lain di situ memandangkan dia terpaksa bekerja sendirian ketika lori tiba untuk mengambil barangan penghantaran.
Kejadian itu berlaku ketika mangsa baru tiba untuk masuk bekerja dan berlaku pertengkaran mulut antara mereka kerana suspek marahkan lelaki tersebut ekoran datang lambat sebelum dia mengambil pisau dan menikam mangsa.
Dalam kejadian itu, mangsa telah ditikam di bahagian dada, rusuk kiri, dagu dan tangan kanan oleh suspek dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun mangsa dilaporkan dalam keadaan kritikal dan masih belum sedar.
Sudah ditahan polis
Jafri dalam pada itu berkata suspek yang sudah dua tahun bekerja di syarikat tersebut melarikan diri selepas menikam mangsa.
Bagaimanapun suspek telah ditahan polis di Seberang Perai pada petang semalam dan berdasarkan siasatan, suspek dan mangsa mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
Beliau dalam pada itu memaklumkan pihaknya turut menerima satu laporan polis daripada rakan sekerja mangsa yang mendakwa diugut suspek sama yang mahu menetak lelaki itu.
Sumber: Astro Awani, Harian Metro