berita

Berjaya Kalahkan Katy Perry & Celine Dion, Siti Nurhaliza Syukur Tersenarai Top 100 Most Awarded Musician Of All-Time

April 6th, 2022 | by Zulaikha
Kini Trending

Nama penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi bualan ramai di Twitter. Siti telah tersenarai dalam Top 100 Most Awarded Musician of All-Time bersama barisan selebriti antarabangsa seperti Michael Jackson, Beyonce, Taylor Swift, BTS dan Justin Bieber.

Menduduki tempat ke-27

Berdasarkan ciapan yang dibuat akaun Twitter, The Artist Museum, Siti Nurhaliza menduduki tempat ke-27 dengan jumlah 329 anugerah yang diterima sepanjang berada dalam industri seni.

Kedudukan itu juga mengalahkan barisan penyanyi terkenal antaranya Justin Timberlake, Usher, Nicky Minaj, Katy Pery, Celine Dion, Selena Gomez, Bruno Mars, Alicia Keys, Christina Aguilera dan kumpulan K-pop terkenal Super Junior serta TWICE.

Tempat teratas carta itu diungguli oleh penghibur lagenda dunia, Michael Jackson dengan 1003 anugerah diikuti dengan Beyonce, 896 dan Taylor Swift sebanyak 867.

Ruangan twitter dipenuhi dengan hantaran netizen yang tumpang gembira dan berbangga dengan pencapaian hebat penyanyi kesayangan ramai.

Tahniah Siti Nurhaliza. Sentiasa menjadi penyanyi nombor satu dan satu-satunya penyanyi saya. Tolong, jangan berhenti menyanyi. Kami masih perlukan anda dalam industri.

Hanya satu-satunya artis Malaysia yang mewakili bersama bintang terkemuka yang lain. Syabas DS Siti Nurhaliza!

Wow ada Siti Nurhaliza dan kedudukannya di atas Celine Dion.

Alhamdulillah syukur

Menerusi Instagram Live sekitar jam 11.45 pagi tadi, pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu berterima kasih kepada semua yang mengucapkan tahniah dan meluahkan rasa syukur dengan kejayaan yang diterima.

Alhamdulillah terima kasih. Saya bersyukur, apa yang mampu saya buat dengan bakat yang ada ini, itu yang saya lakukan. Janji kita buat benda yang positif.

Untuk rekod, Siti Nurhaliza adalah artis Malaysia yang paling banyak menerima anugerah sehinggakan rekod beliau telah dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records pada tahun 2001 dan kekal pemegang rekod sehingga kini.

Sehingga kini, penyanyi berusia 43 tahun itu telah menerima dan memenangi lebih dari 300 anugerah tempatan dan antarabangsa. Selain itu, ibu kepada dua cahaya mata ini adalah pemegang beberapa rekod untuk pelbagai anugerah dan penghargaan.

Sumber: Twitter @TheArtistMuseum & Instagram @ctdk

SKIP THIS AD ×