Di Instagram, penyanyi, Shima berkongsi foto penampilan terbarunya selepas menderita masalah ‘slipped disc’ sejak beberapa tahun yang lalu. Menurut pelantun suara ‘Teringin’, dia berjaya menurunkan berat badan daripada 85 kilogram (kg) ke 48kg dalam tempoh setahun.
Turun 37 kg
Assalamualaikum dan selamat petang semua. Ini adalah gambar terbaru saya yang di ambil pada 21/11 yang lepas. Syukur Alhamdulillah saya berjaya menurunkan berat badan saya ke 48 kg. Terima kasih saya ucapkan kepada keluarga, sahabat-sahabat dan adik-adik saya yang sentiasa mendoakan dan memberikan kata-kata semangat pada saya. Love you all.
Menurut Shima, hampir setahun dia bergelut menahan nafsu makan dan ianya bukan sesuatu yang mudah. Namun, dia yakin bahawa usahanya itu bakal memperoleh hasil kelak. Tambah Shima, mana-mana individu yang menghadapi masalah berat badan perlu berjumpa dengan doktor masing-masing terlebih dahulu bagi mengetahui status kesihatan. Ujarnya lagi, pemakanan merupakan aspek yang paling utama dan perlu dijaga.
Slipped disc ubah gaya hidup
Menurusi laporan Harian Metro, Shima turut berkongsi bahawa masalah slipped disc memaksa dirinya untuk mengubah gaya hidup.
Pada 2019, saya ada slipped disc dengan berat badan 85kg. Jadi, saya terpaksa turunkan berat sebab sudah terlampau sakit. Apabila buat pemeriksaan darah dan penyakit lain, doktor menasihati saya untuk mulakan penjagaan pemakanan. Alhamdulillah, saya tiada masalah darah tinggi dan kencing manis.
Memandangkan saya memiliki rangka kecil, jadi kalau tidak buat apa-apa memang akan menjadi lebih teruk. Disebabkan itu saya berusaha. Mahu atau tidak dan sebab fikir kesihatan, saya buat secara perlahan-lahan. Bukan sebab nak cantik pun. Doktor memberi nasihat cara pemakanan yang sesuai dengan kumpulan darah saya. Saya ikut semua. Cuma tidak boleh buat senaman sebab slipped disc. Alhamdulillah sekarang berat kekal antara 48 hingga 50kg. Ia adalah berat asal saya dulu.
Mengulas lebih lanjut, Shima memberitahu dalam tempoh enam bulan pertama, dia tidak mengambil nasi, gula dan hanya makan sayur-sayuran. Oleh kerana nekad untuk mengubah gaya hidup, Shima bersyukur bahawa dia tidak mengalami masalah sakit tumit dan lutut sekarang ini.
Sumber: Shima & Harian Metro