berita

Berjaya Usahakan Perniagaan Sendiri, Kisah Dua Wanita Ini Cukup Memberi Inspirasi

July 18th, 2019 | by Asyraf Khalib
Shout Out!

“Orang perempuan ni, belajar pandai macam mana pun nanti masuk dapur jugak. Baik duduk je rumah senang.”

Mungkin korang pernah dengar ayat macam ni kan? Yelah, suatu ketika dahulu penglibatan golongan wanita dalam apa jua bentuk pekerjaan selalu dihadkan atas faktor mereka dianggap lemah dan tak sesuai bekerja. Pendek kata, kalau nak buat kerja yang ekstrem sikit daripada kebiasaan terus tak boleh.

Tapi, sekarang segalanya berbeza. Golongan wanita lebih mudah memilih kerjaya masing-masing tanpa sebarang halangan. Malah, boleh dikatakan hampir semua sektor pekerjaan di Malaysia sangat memerlukan tenaga mahir daripada golongan wanita.

Berdasarkan statistik pada suku keempat tahun lalu, penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan di Malaysia meningkat kepada 55.6 peratus dan sehingga kini lebih 5.79 juta wanita bekerja dalam pelbagai sektor. Hebat weh!

Alang-alang bercerita pasal wanita dan kerjaya, admin sebenarnya nak kongsi dengan korang tentang kisah dua wanita hebat yang berjaya mengusahakan perniagaan mereka sendiri walaupun pernah dihimpit dengan pelbagai dugaan dan cabaran hidup.

So, mana-mana individu yang pernah claim kaum wanita lemah dan tak boleh berdikari tu silap besar. Jom baca kisah mereka ni.

Puan Nor Bahiah Salleh

Alhaq Design

Puan Nor Bahiah binti Salleh, 33 merupakan seorang isteri dan juga ibu kepada seorang anak. Beliau yang berasal dari Muar, Johor dan kini menetap di Shah Alam antara salah seorang usahawan wanita yang berjaya mengusahakan perniagaannya sendiri di Seksyen 7, Shah Alam sejak tahun 2016. Setakat ini, perniagaan beliau bukan hanya menerima tempahan baju kurung dan baju Melayu malah mempunyai produk kurta jenama sendiri yang bermutu tinggi.

Kalau korang nak tahu, Puan Nor Bahiah dahulu sebenarnya seorang pengurus kewangan dan pernah berkhidmat dengan beberapa buah institusi kewangan terkemuka di Malaysia sekitar tahun 2009 sehingga 2015.

Namun, dek minatnya yang mendalam dalam dunia jahitan dan fesyen sejak berumur 15 tahun, beliau akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan kerjayanya lalu membuka perniagaan sendiri. Perniagaan yang diberi nama Alhaq Design mula beroperasi awal tahun 2016 selepas beliau tamat kursus yang ditawarkan di Giat MARA.

Apa yang menarik perhatian admin ialah walaupun perniagaan Alhaq Design masih dalam skala kecil dan sederhana, Puan Nor Bahiah kelihatan begitu cekap dalam menguruskan perniagaannya. Siap ada sistem khusus untuk mengurus data pelanggan dan platform khas untuk aktiviti pemasaran.

Bila ditanya soal kecekapannya dalam pengurusan perniagaan, Puan Nor Bahiah tak lokek berkongsi pengalaman dalam Program Usahawan Wanita (PUW) hasil inisatif pihak Telekom Malaysia Berhad (TM) yang pernah disertai beliau pada tahun 2017. Menurut beliau, kursus selama lebih kurang tiga (3) bulan itu banyak memberi pendedahan kepada peserta tentang ilmu asas perniagaan.

Puan Nor Bahiah juga berpeluang menyertai satu lagi program usahawan anjuran TM iaitu Big Data Analytics pada tahun 2018. Admin agak teruja mendengar tentang program ini yang dikatakan paling banyak mempengaruhi perniagaan Alhaq Design sehingga hari ini. Bukan biasa-biasa tau!

Puan Nor Zahayu binti Zainuddin

Matahari Hair & Beauty Salon

Puan Nor Zahayu binti Zainuddin, 41 atau lebih mesra dengan panggilan Puan Ayu merupakan pemilik Matahari Hair & Beauty Salon di Puncak Alam, Selangor. Perniagaan beliau menawarkan servis dandanan rambut, kecantikan dan spa sejak tahun 2006 lagi. Walaupun sibuk dengan rutin perniagaannya, isteri dan ibu kepada dua orang anak ini tak pernah mengabaikan tanggungjawab beliau untuk keluarga.

Saat beliau bercerita tentang perjalanan perniagaannya, admin terpegun dengan kecekalan Puan Nor Zahayu yang tabah dan kuat menghadapi ujian berat apabila perniagaan milik beliau pernah ditutup atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan.

Tapi apa yang admin respect, walaupun beliau berhadapan pelbagai halangan, Puan Nor Zahayu tetap berusaha meneruskan perniagaannya sehingga berjaya mengembangkan skop perkhidmatan yang pada awal hanya menyediakan servis dandanan rambut sahaja. Namun, kini Matahari Hair & Beauty Salon turut menawarkan servis spa dan kecantikan. Pendek kata sekarang dah lengkap dan sempurna!

Sebagai seorang usahawan, Puan Nor Zahayu mengakui bahawa beliau perlu sentiasa peka dengan perkembangan teknologi dan persaingan dalam dunia perniagaan. Beliau menyatakan rasa syukur kerana dapat mengikuti beberapa siri program usahawan wanita anjuran TM sejak tahun 2016.

Antara program keusahawan yang beliau sertai ialah PUW2016, Women Entrepreneur Scale Up Programme 2017 dan Dynapreneur pada tahun 2018 dan 2019. Kesemua program tersebut banyak membantu menambah baik kemahirannya dan beliau mengakui jumlah pelanggan yang datang ke premis perniagaannya juga meningkat.

Jangan terlalu berharap pada suami, wanita juga boleh berdikari

Kedua-dua wanita ini hebat kan? Siapa sangka dah bergelar ibu pun masih bersemangat berniaga. Jadi, tak mustahil korang di luar sana pun boleh berjaya sama seperti mereka. Bila admin tanya berkenaan pandangan mereka terhadap persepsi sesetengah individu yang menganggap wanita lebih perlu menguruskan hal rumah tangga berbanding bekerja, kedua-dua mereka berkongsi pendapat hampir sama.

Menurut Puan Nor Bahiah, persepsi tersebut salah sama sekali kerana isteri juga berhak untuk mengejar cita-cita dan minat sendiri asalkan mendapatkan izin dan restu daripada suami. Beliau juga menasihati agar wanita di luar sana agar bijak dalam pengurusan emosi bagi mengelakkan mereka mudah berkecil hati dan tak malu untuk ke hadapan.

Bagi Puan Nor Zahayu pula, beliau berharap semua wanita khususnya buat mereka yang sudah berkahwin tak terlalu berharap segala-galanya kepada suami kerana wanita juga memerlukan wang untuk memenuhi kehendak diri. Dalam erti kata yang lain, jadilah wanita yang bijak dan pandai berdikari!

Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima…

Sebenarnya, beberapa program usahawan yang disertai oleh kedua-dua wanita yang admin kongsikan dalam artikel ini sebenarnya antara inisiatif tanggungjawab korporat yang dijayakan oleh pihak TM dalam usaha untuk membantu masyarakat untuk menambahbaik kehidupan sekaligus membantu mereka yang memerlukan, selari dengan aspirasi TM #lebihuntukmu.

Jadi, kalau korang nak tahu lebih banyak lagi maklumat lanjut tentang program menarik TM, korang boleh layari laman sesawang TM!