Bukan sesuatu yang mudah mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu, pensyarah di Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM), tuntutan seni dan belajar pada masa sama.
Pelakon Vanidah Imran berjaya membuktikan dia mampu melakukan selepas menamatkan pengajian Sarjana Seni Persembahan (Drama).
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih
Vanidah menggenggam sarjana dan menyarung jubah konvokesyen pada majlis konvokesyen ke-61, Universiti Malaya berlangsung Sabtu lalu (12 Mac lalu) di Dewan Tunku Canselor.
Menurut Vanidah, 48, perjalanan empat tahun bagi melengkapkan tempoh pengajian itu bukan sesuatu yang mudah. Namun, dia bersyukur kerana dikurniakan kawan yang ringan tulang membantu dari segi fizikal dan mental.
Pergelutan itu memang bukan calang-calang. Ia tak mudah langsung, tetapi saya bersyukur kerana dirahmati. Saya memiliki kawan yang sama-sama buat sarjana termasuk Hasif Roslan dan Mohamad Shukri Mohd Tahir.
Kami bertiga berjanji, walau apa jua cabaran akan menamatkan pengajian sarjana ini. Kami saling memberi motivasi dan membakar semangat antara satu sama lain.
Saya juga beruntung kerana tak pernah putus sokongan daripada kawan lain seperti Prof Madya Aminah Rhapor, penyelia (Dr Marlenny Deenerwan), keluarga dan anak.
Anak faham situasi ibu
Tambah bintang filem Red Kebaya itu, kedua cahaya matanya iaitu Mikail Aimran dan Maryam Rashika turut memainkan peranan penting apabila memahami situasi yang sedang dialami.
Biarpun timbul rasa rugi kerana tidak menyambung pengajian ketika masih muda, bekas pengacara program Nona ini menerima tanggungjawab itu dengan lapang dada.
Anak saya tahu bila ibu mereka perlu lunaskan itu dan ini. Contohnya kalau saya kena mengadap tesis, tarikh akhir serahan tugasan dan sesi virtual. Tambah pula berdepan fasa genting di era pandemik COVID-19.
Kalau saya tak sempat masak dan sediakan makanan, mereka pandai-pandai buat makan sendiri atau tempah dari luar.
Apabila belajar di usia melewati angka empat siri dengan tuntutan tanggungjawab serta komitmen sebagai ibu dan anak, ia bukanlah fasa mudah. Berbanding masa muda, kita kurang bebanan. Tapi saya terima segala-galanya dengan lapang dada.
Bapa pujuk sambung belajar
Dalam pada itu, Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) berasa bertuah kerana menerima semangat daripada bapa tercinta yang tidak pernah jemu memujuk dirinya untuk memilih jalan selain sebagai anak seni.
Bapa tak pernah jemu dan berhenti meminta saya sambung belajar. Kata-katanya seperti sampai bila nak kerja berlakon balik lewat pagi terus berbekas. Saya bersyukur Tuhan gerakkan hati untuk saya jadi realistik sekali gus sambung belajar.
Orang selalu kata buat sesuatu harus ambil kira nasihat ibu bapa. Ternyata apa yang bapa saya tekankan selama ini ada keberkatannya. Saya tak pernah menyangka akan dapat tawaran masuk dunia akademik termasuk bergelar pensyarah.
Itu semua antara hikmah yang dihamparkan apabila saya mula membuat keputusan besar dalam hidup untuk mengutamakan sisi akademik selain mengimbangi kehidupan hakiki. Paling penting bapa yang tidak menentu tahap kesihatannya masih berpeluang menyaksikan kejayaan ini.
Foto: Ihsan Universiti Malaya