Foto anggota polis yang viral kerana mengalami sunburn teruk ketika bertugas bagaimanapun membuatkan seorang abang kembali merindui arwah adiknya. Ismail Mohd Razak berkata polis berkenaan saling tak tumpah seperti adiknya, Abd Jalil yang meninggal pada 2013.
Muka hampir seiras
Berikutan wajah seiras itu, Ismail meluahkan hasrat supaya anggota polis berkenaan dijejaki untuk menjemput lelaki itu berjumpa dengan ibunya bagi melepaskan rindu buat arwah adik.
Tambahnya lagi, ketika ditunjukkan dengan foto itu oleh isterinya, dia terkejut dan dalam masa sama terkenang kembali saat menerima berita sedih kematian arwah.
Saya pada awalnya terkejut, sebak kali pertama melihat gambar polis itu, ibarat pelanduk dua serupa. Wajah mereka seiras kalau sekali pandang. Memang terkenang kembali arwah adik kerana saya adalah orang pertama menerima berita kematiannya.
Arwah waktu itu berusia 19 tahun meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 1 Mei 2013 di Perai. Saya pergi ke hospital Seberang Jaya menguruskan jenazah, siap mandi dan kafan, baru bawa balik rumah di Kampung Che Isa, Nibong Tebal.
Usaha berhasil
Memuatnaik status asal memohon anggota polis itu dijejaki pada Isnin, tidak sampai 2 hari, usaha berkenaan berjaya. Ismail berterima kasih kepada netizen yang membantu dan mendoakan mereka. Tambahnya, anggota polis berkenaan akan dipertemukan dengan ibunya selepas perintah kawalan pergerakan tamat.
Sumber: Ismail Mael, Sinar Harian