Sebelum ini, penyanyi dan komposer Zynakal mendedahkan bagaimana dirinya berdepan dengan masalah mental selepas didiagnos menghidap Bipolar Mania.
Artikel Berkaitan: #BestiesPapeRoger: Digelar Gila, Zynakal Tak Salahkan Takdir Hidap Bipolar Mania
Pada perkongsian kali ini, Zyn atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli akan mendedahkan apakah kesukaran serta pahit getir yang terpaksa diharunginya sepanjang ‘memikul’ penyakit Bipolar Mania dibahunya.
Bukan kurang perhatian, tapi terlebih
Menurut Zyn, seseorang yang menghidap Bipolar Mania adalah bukan kerana kurang perhatian, sebaliknya terlalu banyak perhatian yang diberikan. Malah, boleh dikatakan melebih-lebih perhatian yang dicurahkan.
Zynakal: Saya bukan kurang perhatian tetapi terlebih perhatian sebenarnya. Saya sepatutnya pergi ke Jakarta sehari sebelum kejadian di stesen minyak. Tapi semuanya terpaksa batal di saat akhir, hujung-hujung saya tidur lokap. Masih muda, sudah mempunyai jumlah duit yang banyak dan dapat beli kereta idaman saya, itu yang terlalu teruja sehingga Bipolar datang. Penyakit Bipolar tidak boleh terlalu over limit, perlu normal dan just nice sahaja.
OhBulan!: Zyn ambil ubat?
Zynakal: Saya memang kena ambil ubat sehingga ke hari ini. Tapi saya kawal, selagi boleh untuk tidak makan ubat saya akan elak. Antara cara yang saya buat untuk tidak ambil ubat adalah ambil tahu dan faham sakit saya.
Selain ubat, saya amalkan teknik pernafasan yang betul. Mungkin separuh orang memandang remeh tentang pentingnya teknik pernafasan yang betul. Bila triggered pernafasan akan laju, jadi kena tahu macam untuk kawal. Tarik nafas dalam-dalam, tahan dan lepaskan perlahan-lahan. Tarik nafas dalam lima saat kemudian tahan tiga saat. Emosi akan kawal jantung, itu perlu ingat. Saya juga pergi jumpa doktor tiga bulan sekali untuk pemeriksaan.
Dalam pada itu, Zyn berkata sepanjang tempoh dua minggu ditahan dalam wad sakit mental, dia berjumpa dengan pelbagai jenis ragam dan karakter ‘aneh’ manusia.
Zynakal: Saya dua minggu dalam hospital rasa macam dua tahun, lama rasanya. Saya rasa nak menangis duduk di sana. Saya jumpa macam-macam jenis orang. Ada yang nampak sihat, ada juga yang suka bercakap dengan kepala paip, meracau-racau. Ada juga seorang pesakit yang duduk di depan katil yang bercakap dengan bantal.
Apa yang saya lihat dalam hospital, saya pasti orang normal tak pernah tengok. Jadi sebab itu bila saya keluar dari hospital saya tanam dalam diri saya, ini adalah peluang. Saya ambil sebagai satu benda positif, tanggungjawab saya untuk beritahu dekat orang luar tentang sakit ini.
Saya juga percaya individu yang sakit ini mereka tidak mahu kongsikan kepada orang lain. Tetapi saya mahu jadi seseorang atau tempat yang mereka boleh luahkan. Kerana saya dan dia berkongsi sakit yang sama, mungkin itu boleh buat orang itu selesa untuk berkongsi.
OhBulan!: Susah tak nak fahamkan orang ramai tentang sakit Zyn?
Zynakal: Itu antara penyebab yang buatkan mereka yang hidap penyakit ini menjadi lebih down, sebab mereka berborak dengan orang yang tak faham. Jadinya mereka mendapat respon tidak seperti yang dijangka. Contohnya, seseorang itu pernah patah kaki, tapi dia kongsi pengalaman dengan orang yang tak pernah patah kaki, ceritanya akan berbeza.
OhBulan!: Setiap kali rasa triggered itu serang, berapa lama untuk Zyn kembali normal?
Zynakal: Tidak menentu, melihat kepada keadaan juga, ada waktunya berhari-hari, ada waktunya ambil masa berjam sahaja. Saya akan kembali normal dengan sendiri selain daripada makan ubat.
OhBulan!: Nasihat dari rakan indsutri yang Zyn ingat.
Zynakal: Saya sangat rapat dengan Caprice, saya tumpang rumah dia. Sejujurnya selepas saya kenal dia, dia seorang yang lain daripada apa yang ditayangkan dalam media sosial. Banyak sangat nasihat yang dia berikan pada saya. Apa yang paling saya ingat dia cakap ‘siapa saya hari ini dan berjayanya saya hari ini adalah disebabkan ibu bapa saya’.
Sementara itu, ketika disoal pernahkah terfikir untuk bertindak di luar kawalan, Zyn menjawab ‘ada’.
Terfikir untuk bunuh diri?
Zynakal: Kalau cakap fasal berfikir untuk bunuh diri memang ada, benda ini adakalanya tidak boleh kawal. Saya dikawal oleh sakit dan bukan diri saya yang sebenar.
OhBulan!: Selain rasa pernah nak bunuh diri, ada insiden lain yang berlaku?
Zynakal: Pernah ada satu kejadian, saya pergi soundcheck untuk program Big Stage di PICC Putrajaya. Baru nak mula nyanyi, saya tiba-tiba menangis dan menggigil atas pentas, nasib baik waktu itu baru soundcheck.
Saya rasa waktu itu triggered masa dekat bilik make up. Saya tak tahu kenapa, tapi saya rasa semua orang dalam bilik make up tengah bercakap pasal saya. Padahal mereka tidak bercakap pun tentang saya. Saya rasa macam boleh dengar setiap satu perkataan yang keluar daripada mulut-mulut orang dalam bilik itu. Ibarat kutuk depan-depan. Itu yang saya naik stage saya menangis, kemudian saya mahu balik.
OhBulan!: Persepsi orang tentang Bipolar Mania yang Zyn hidap?
Zynakal: Mula-mula saya fikir macam mana nak buat permohonan maaf dengan orang luar disebabkan tuduhan saya pukul orang dan nak kongsi rasa sakit saya ini. Kalau saya buat video, mesti orang akan kecam. Itu sebab saya buat lagu, kongsi melalui penulisan. Dengan kelebihan yang Allah bagi saya gunakan medium itu. Keluarlah lagu Sakit.
Saya pernah digelar gila, ada orang yang DM saya cakap gila. Sebenarnya mereka kurang bijak, kalau mereka bijak mereka tahu yang saya hidap Bipolar bukan gila.
Peminat mahu bunuh diri
OhBulan!: Awak luahkan segalanya dalam lagu Sakit?
Zynakal: Saya gembira apabila mesej sebenar dalam lagu itu sampai kepada orang ramai. Kalau orang jumpa saya cakap lagu Sakit buat mereka sedar dan ambil tindakan, saya gembira sangat. Biar lagu itu lebih dikenali daripada saya.
Ada juga fun facts yang saya nak kongsikan. Ada seorang lelaki jumpa saya dia kata lepas dengar lagu Sakit dia dapat beli rumah dan kereta. Dia kata dulu dia ada perniagaan kemudian disebabkan PKP, perniagaan tak jalan dan dia jadi murung. Namun, semua berubah selepas dia dengar lagu Sakit.
Ada juga satu kisah seorang gadis yang masih belajar di universiti hampir nak bunuh diri. Sebelum ini, perempuan itu pernah mesej saya di DM Instagram tapi saya tak baca. Kemudian, masa dia berniat nak bunuh diri, kawan dia terus mesej saya.
Rupanya, sebelum dia berniat nak bunuh diri dan naik bangunan, dia ada post lagu Sakit dekat Instagram Story. Masa saya tengok, terus saya macam ‘jangan’. Kawan dia cakap yang perempuan itu banyak kali telefon untuk minta tolong.
Saya terus reply mesej itu dan berkata jangan bertindak luar kawalan, sabar dan saya sudi berjumpa dengan dia untuk kongsi cerita. Saya bersyukur sebab gadis itu dapat mengawal keadaan dirinya dan melupakan niat untuk bunuh diri. Saya rasa macam hero juga sebenarnya. Sangat baru, kejadian tersebut berlaku pada Julai tahun ini.
Saya tak mahu ada yang bunuh diri selepas dengar lagu Sakit. Saya mahu mereka sembuh dari masalah mental selepas mendengar lagu Sakit. Lagu itu sangat bermakna untuk pesakit mental, antara liriknya ‘penyakit tiada luka, sakit tiada parut’.
Pernah juga saya nak pergi ambil ubat saya terjumpa dengan seorang budak sekolah yang ajak bergambar, dia datang ambil ubat juga. Saya betul-betul terkejut. Itu antara satu kejadian yang buka mata saya untuk ke hadapan dan beritahu semua orang. Saya bertanya pada diri saya kenapa dunia ini semakin rosak, ramai sangat orang sakit.
OhBulan!: Tahap sakit Zyn ketika ini?
Zynakal: Sekarang saya di tahap satu daripada lima… kalau dulu pada tahap empat agak teruk. Masa saya dalam hospital, doktor kata kalau saya nampak ceria dah boleh keluar, tapi saya silap. Bila doktor tanya berapa peratus saya gembira dengan yakin saya jawab 100 peratus, terus doktor jawab ‘sakit lagi ni’. Saya terperangkap sebab sebenarnya manusia normal rasa gembira di tahap 70 peratus sahaja bukan 100 peratus.
OhBulan!: Nasihat kepada mereka yang hadapi masalah sama dengan Zyn?
Zynakal: Kepada mereka di luar sana tidak salah untuk berada dalam kegelapan, sebab pada saya sebelum ada pelangi akan turun hujan, sebelum senyum ada tangis. Tapi jangan lama sangat dalam situasi itu kerana ia akan melemahkan anda.
Kalau anda rasa sakit dan mencuba untuk nampak baik dan sihat, itu boleh mengakibatkan masalah anda menjadi lebih teruk. Hargailah diri anda! Masalah itu sebenarnya datang berpunca dengan orang di sekeliling atau berkemungkinan kerana terlalu memikirkan orang di sekeliling awak. Sayang diri sendiri sebelum sayang orang lain.
Buat pembaca OhBulan! kalau korang ingin tahu lebih lanjut mengenai masalah mental, kaedah rawatan, perkongsian pesakit mental yang lain? Korang boleh ke Besties, Pape Roger untuk baca artikel-artikel lain. Korang juga boleh buat luahan hati secara anonymous tau! So guys, pape roger ok?