berita

Bimbang Wujud ‘Kluster Sanglang’, MB Perlis Rayu Rakyat Patuhi SOP

August 7th, 2020 | by Amat
Kini Trending

Di Facebook Menteri Besar Perlis iaitu Dato Seri Azlan Man meluahkan rasa bimbang apabila difahamkan wujud satu lagi kes positif Covid-19 di negeri itu. Dia difahamkan bahawa satu kes terbaru di Perlis itu berpunca dari kluster Sivagangga yang berlaku di Napoh, Kedah. Bagaimanapun, pergerakan masuk dan keluar dari daerah Kubang Pasu telah dihadkan oleh pihak berkuasa bagi memutuskan rantaian ini.

Sehubungan itu, Dato Seri Azlan Man menegaskan dan memberi peringatan supaya rakyat Perlis sentiasa memakai pelitup muka, bersihkan tangan serta menjaga jarak sosial demi kembali ke zon hijau.

Dari zon kuning ke zon hijau

Kluster Sivagangga yang berlaku di daerah Kubang Pasu di Kedah mencetuskan kebimbangan negeri terdekat iaitu Perlis akan kelangsungan rantaian Covid-19 ini. Terkini, pergerakan keluar masuk ke daerah tersebut telah dihadkan oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun, Perlis sekali lagi dikejutkan dengan satu lagi kes positif yang terdapat di Sanglang. Dipercayai kes ini berjangkit melalui kluster Sivagangga.

Dua minggu lalu Perlis dikejutkan dengan berita seorang PATI rakyat Thailand yang sedang menunggu deportasi di Pusat Koreksional, Guar Nangka disyaki positif Covid-19. Bagaimanapun, setelah dilakukan saringan susulan yang lebih komprehensif, ia didapati negatif. Namun, berita telah tersebar di seluruh negara. Akibatnya Perlis dimasukkan ke zon kuning dari zon hijau.

Seminggu lepas, kita dikejutkan dengan kes-kes positif Covid-19 dari kluster Sivagangga yang bermula di sebuah restoran nasi kandar di Napoh, Kedah. Akhirnya seluruh kawasan Napoh dikenakan Targeted Enhancement Movement Control Order (TEMCO) atau Perintah Kawalan Pergerakan Peningkatan Sasaran. Pergerakan keluar masuk harian di kawasan tersebut dihadkan.

Dua hari lepas Perlis dikejutkan dengan satu kes positif Covid-19 baru di Kg Tanah Timbul, Sanglang. Dilaporkan kes ini ada kaitannya dengan kluster Sivagangga di Napoh. Ini menjadikan rekod kes positif Covid-19 di Perlis meningkat dari 18 ke 20 kes. Kes PATI yang awal juga turut diambil kira, walaupun ternyata negatif.

Kemungkinan kes meningkat

Menteri Besar Perlis ini bimbang akan lebih ramai berjangkit termasuk ahli keluarga mangsa yang tinggal serumah. Bagaimanapun, jumlah bilangan kes positif di negeri itu akan disahkan oleh KKM kelak.

Hari ini saya dapat berita tak rasmi kemungkinan 10 orang ahli keluarga terdekat individu yang didapati positif di Sanglang juga positif. Mereka semua tinggal serumah dengan mangsa. Jika ini benar, jumlah kes positif di Perlis akan meningkat kepada 30 kes. 10 kes baru ini akan disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada hari ini.

Kerajaan Negeri tidak boleh memandang ringan perkara ini kerana ia sangat merbahaya dan kesannya amat serius. Kemungkinan besar TEMCO akan dikuatkuasakan di kawasan terlibat di Sanglang untuk mencegah penularan wabak ini. Penduduk di kawasan berkenaan harus bersedia jika langkah ini dilaksanakan.

Rayu untuk patuhi SOP

Dato Seri Azlan Man menegaskan agar rakyat Perlis terus memakai pelitup muka dan sentiasa menjaga jarak sosial bagi memutuskan rantaian wabak ini.

Penularan semula kes-kes positif Covid-19 di Perlis berlaku kerana rakyat memandang ringan pematuhan SOP dan melanggarnya. Penutup muka tak dipakai, tangan tak dibasuh dengan kerap dan penjarakan fizikal tak diamalkan. Seperti yang telah diberi ingatan dan amaran, akhirnya Covid-19 menular semula di Perlis.

Tidak mustahil Perlis akan masuk zon merah semula jika kes-kes positif semakin meningkat. Siapa yang akan susah nanti? Siapa pula nak disalahkan?

Untuk elakkan keadaan bertambah buruk, saya ingin merayu dan menyeru agar seluruh rakyat Perlis mematuhi sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan. Ini adalah tanggungjawab kita bersama sebagai rakyat Perlis!

Sumber: Azlan Man

SKIP THIS AD ×