Sejak mengikat tali pertunangan pada bulan Januari yang lepas, perjalanan Black untuk mendirikan masjid seringkali diduga. Sebelum ini Black pernah mendakwa terkena buatan ilmu hitam dan hampir putus tunang.
Terbaru, Black yang kini sedang menanti hari untuk diijabkabulkan nampaknya berdepan masalah lain apabila ditipu seorang perancang perkahwinan.
Menurut laporan portal Gua, Black telah membayar sejumlah besar wang kepada individu terbabit bagi menguruskan majlis perkahwinannya namun tiada usaha yang dilakukan oleh pihak berkenaan.
Saya sama sekali tidak menyangka benda akan jadi begini. Saya telah membayar wang sebanyak RM30,000 kepada perunding perkahwinan tersebut pada bulan Mei lalu, namun sehingga sekarang masih tiada hasil.
Black bersama tunangnya, Cira Khairi
Tambah merumitkan lagi apabila perunding perkahwinan itu terus mendiamkan diri setelah membayar semula wang pendahuluan sebanyak RM15,000 kepada Black.
Black yang kesal dengan tindakan tidak jujur perunding itu merayu supaya baki wang berjumlah RM15,000 lagi dipulangkan kepadanya. Black turut menyatakan dia mempunyai bukti yang cukup untuk menegakkan haknya.
Saya telah membuat laporan polis pada minggu lepas dan pihak perunding perkahwinan tersebut juga telah menyediakan peguam bagi membela dirinya. Namun, saya mempunyai segala bukti berhubung hal ini.
Buat masa ini Black masih menanti masa yang sesuai untuk mengumumkan tarikh perkahwinannya melalui satu sidang media. Namun menurut desas-desus, kemungkinan besar majlis pernikahan Black akan disiarkan secara langsung melalui rancangan Wanita Hari Ini (WHI).