berita

Black Tak Jadi Saman Penulis Gosip

October 30th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Awal bulan lalu Black telah nafi bersekedudukan dengan kekasihnya sewaktu bercuti di Pulau Redang. Menerusi laporan yang sama, Black turut melahirkan rasa terkilan kerana ada pihak yang mempertikaikan bangsa dan agamanya.

Berikutan tuduhan tersebut, penyanyi ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia ingin saman penulis ruangan gosip yang menyebarkan fitnah terhadap dirinya.

Bagaimanapun Black ketika ditemui di sidang media pencalonan Muzik Muzik ke 27 petang semalam, telah menyatakan bahawa dia tidak mahu isu saman itu dibangkitkan lagi.

“Isu saman keluar ketika saya sedang marah dan waktu tu ada pihak yang mempertikaikan agama saya. Sekarang ni soal saman tak perlu ditimbulkan lagi dan saya bukanlah seorang yang pendendam.”

“Bagi saya soal agama, mak dan ayah jangan sentuh. Ada orang sanggup bergaduh sebab hal-hal macam tu.”

“Kalau orang nak kritik kerja dan karier saya tak mengapa. Yang tu saya tak kisah dan boleh diterima,” tegas Black berhubung isu fitnahnya sebelum ini.

Merujuk perkembangan terbaru, Black bakal muncul dalam Separuh akhir Muzik Muzik pada 22 November ini, di mana dia akan mempertaruhkan lagu terbaru berjudul ‘Teman Pengganti.’

Menerusi cabutan undian yang telah dibuat, Black bakal mengadakan persembahan pertama pada minggu yang ke tiga. Meskipun begitu, penyanyi ini tidak gentar dan telah bersedia untuk segalanya.

“Sebenarnya kami memang selalu bersedia untuk pertandingan tersebut dan saya akan cuba perbaiki sedikit mutu persembahan saya dan RJ (Rapper pengganti Malique).”

“Kami juga akan cuba perbaiki dari segi Rap dan cara pernafasan yang betul kerana dalam Rap, kita kena sebut setiap perkataan dengan jelas dan teratur. Kami akan berlatih lagi untuk buat yang terbaik.”

“Saya nak peminat doa biar lagu ‘Teman Pengganti’ ni dapat masuk ke peringkat akhir. Untuk lagu ni saya akan cuba sampaikan dengan jiwa supaya penonton di rumah dan di Sri Pentas akan dapat rasakan auranya,” ujar Black mengenai persembahannya nanti.

Dalam masa yang sama, penyanyi yang memiliki vokal mantap ini turut akui lagu ‘Teman Pengganti’ memiliki kekuatan dan peminatnya yang tersendiri. Oleh itu, Black berharap agar lagunya akan tercalon untuk ke peringkat seterusnya.

“Lagu ni memang dah kuat. Lagipun sasaran pendengar saya untuk lagu ini bukan untuk golongan dewasa semata-mata. Kalau boleh saya nak kanak-kanak pun boleh hafal lagu ni.”

Memandangkan ini adalah lagu duet antara Black dan Malique, timbul juga persoalan adakah Malique akan muncul sewaktu pertandingan separuh akhir nanti? Lantas Black menjawab, “Kita tunggu dan tengok sahaja nanti.”

“Dari awal sesi rakaman lagi saya dah dimaklumkan bahawa Malique ingin berkarya secara belakang tabir. Dia juga ada cakap mungkin dia akan muncul dan mungkin juga tidak. Saya terima dan tidak kecewa dengan perkara macam ni.”

“Sebelum lagu ni keluar, 6 bulan saya berada di Studio dengan Malique untuk buat sesi rakaman. Sepanjang tempoh tersebut saya seronok dapat bekerjasama dengan dia dan saya dah anggap dia macam idola saya. Rasa beruntung kerana dapat bekerjasama dalam lagu ni,” komen Black mengenai Malique.

SKIP THIS AD ×