Mahkamah Rayuan semalam melepaskan, membebaskan dan mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 terhadap Sam Ke Ting atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017.
Artikel Berkaitan: Kes Basikal Lajak: Sam Ke Ting Dibenar Rayu, Bebas Dengan Ikat Jamin RM10K
Artikel Berkaitan: Wanita Langgar Mati 8 Remaja Berbasikal Lajak Dipenjara 6 Tahun, Didenda RM6k
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Betul-Betul Insaf Bang’ – Budak-Budak Basikal Lajak Menangis Diangkut Guna Van Jenazah
Ke Ting mohon maaf
Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail berkata, Mahkamah Tinggi hanya memfokuskan pada pemandu tapi bukan kepada kumpulan lajak basikal itu. Berlainan dengan Mahkamah Majistret yang membuat penilaian secara maksimum dengan memfokuskan semua sudut bahawa kemalangan ini mustahil dapat dielakkan.
Satu cara untuk mengelak kemalangan adalah kereta itu ‘terbang’ ketika melalui kumpulan basikal lajak. Memang nampak kelakar tapi dapatan Mahkamah Majistret itu adalah tepat kerana tiada cara lain hendak mengelak kemalangan itu.
Ujarnya lagi, laluan kejadian yang gelap dan berbukit juga merupakan salah satu faktor Sam Ke Ting tidak mampu mengelak kenderaan yang dipandunya sehingga kemalangan tersebut boleh berlaku dalam sekelip mata.
Memang bawa (memandu) kereta tengok depan tetapi jalan itu berbukit, laluan kereta mendaki bukit, jalan berselekoh dan gelap sebab lampu jalan ditutupi pokok. Ada 30, 40 basikal depan (kereta Ke Ting) bukan? Boleh tunjuk mana undang-undang mengatakan kalau dia (Ke Ting) tidak tahu, tak nampak (basikal lajak) sebab jalan berselekoh, terlindung adalah salah.
Kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) tak salah kerana jam 3.20 pagi (masa kejadian) waktu orang tidur dan kenderaan tak banyak atas jalan. Dia tak nampak sebab jalan terlindung dan kemalangan berlaku dalam sekelip mata, tiada masa untuk berfikir.
Dalam pada itu, Sam Ke Ting, 28, memohon maaf kepada lapan keluarga mangsa kejadian basikal lajak. Tambahnya lagi, kejadian tersebut benar-benar menghantui dan bermain dalam fikirannya sejak enam tahun lalu.
Kata-kata saya tidak dapat membawa arwah kembali ke pangkuan keluarga, namun demikian saya ingin sampaikan kepada keluarga bahawa saya turut memikul keperitan tragedi itu. Saya dengan suci hati memohon maaf kepada keluarga mangsa walaupun saya tahu dan faham bahawa maaf berat dihulurkan.
Sumber: Sinar Harian, Astro Awani, Harian Metro