berita

‘Boleh Melukis, Mewarna’ – Usaha Masjid Negeri Ipoh Sediakan Zon Kanak-Kanak Ketika Tarawih Dipuji Ibu Bapa

May 11th, 2019 | by Amat
Kini Trending

Setiap kali kita pergi menunaikan solat sunat tarawih di masjid atau surau pasti ada suara kanak-kanak kedengaran. Ditambah pula dengan kanak-kanak yang aktif bermain kejar-kejaran sehingga menganggu fokus ibadah kita. Kadang-kadang ibu bapa terpaksa pulang awal takut anak mereka mula meragam dan menangis.

Namun, berbeza pula dengan situasi di Masjid Sultan Idris Shah II atau dikenali sebagai Masjid Negeri di Ipoh. Ruang bermain untuk kanak-kanak diwujudkan sehingga membuatkan mereka enggan pulang disebabkan seronok bermain dengan pelbagai aktiviti disediakan.

Banyak aktiviti disediakan

Menurut laporan Sinar Harian, ahli jawatankuasa Masjid Negeri ini mendapat ramai ibu bapa membawa bersama anak kecil sewaktu menunaikan solat tarawih. Oleh demikian, satu ruang di tingkat atas bersebelahan ruang solat disediakan ruang khas untuk kanak-kanak.

Terdapat pelbagai aktiviti disediakan termasuklah mewarna, membaca dan sebagainya sepanjang solat tarawih berlangsung. Tambahan, Imam Besar Masjid Negeri mengalakkan ibu bapa membawa anak-anak ke masjid dan amalan ini perlu dididik sejak mereka kecil lagi.

Cumanya di pihak jawatankuasa perlu bijak mengendalikan situasi bagaimana mahu menjadikan masjid sebagai tempat mesra kanak-kanak, satu daripada usaha kita lakukan adalah dengan menyediakan zon kanak-kanak seperti ini.

Aspek keselamatan diambil kira

Tambah Imam Masjid Negeri lagi, bagi menitikberatkan aspek keselamatan ibu bapa perlu mengisi borang pendaftaran dan mendapatkan kad khas untuk diserahkan semula semasa mengambil anak mereka.

Bilik ini juga dilengkapi penyaman dingin dan antara permainan disediakan adalah lego, kapal terbang mainan, anak patung juga buku-buku aktiviti matematik, melukis dan mewarna. Hampir 90 peratus barangan mainan ini adalah hasil sumbangan orang ramai.

Ada kakitangan memantau

Setiap malam akan ada dua kakitangan dari Pejabat Pentadbiran Masjid Negeri dan pasukan sukarelawan secara bergilir membantu memantau kanak-kanak yang diletakkan di zon ini.

Sepanjang empat hari puasa ini, lebih 40 keluarga telah mendaftar, ada juga sebahagian kanak-kanak ini terlalu leka bermain hinggakan tidak mahu pulang.

Iman Masjid Negeri ini turut berharap agar dengan kewujudan ruang kanak-kanak sebegini dapat mengalakkan ramai lagi jemaah datang untuk menunaikan solat tarawih dan bawa bersama anak mereka. Malah, turut dijadikan contoh dan ikutan kepada jawatankuasa masjid yang lain.

Manfaatkan ruang yang ada

Menerusi perkongsiannya lagi, masjid ini tidaklah mempunyai ruang yang besar. Turut memberi cadangan untuk masjid yang mempunyai ruang kecil supaya menggunakan balai lintang atau pembuat pembahagian untuk mewujudkan zon kanak-kanak.

Kemudahan parkir dan ruang solat di kebanyakan masjid-masjid di negeri ini sudah cukup selesa, jadi dengan adanya usaha menambah sedikit ruang untuk kanak-kanak, pasti akan memberi lebih kebaikan kepada jemaah.

Sumber: Sinar Harian

SKIP THIS AD ×