berita

Boleh Mohon Bermula 21 Disember, Ini 2 Kategori Kelayakan i-Sinar KWSP

December 2nd, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Sebelum ini, pihak kerajaan telah membuat keputusan untuk memperluaskan program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  kepada semua ahli yang terjejas ekoran daripada pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Artikel Berkaitan: KWSP Perkenal i-Sinar, Pengeluaran Maksimum Pertama Antara RM4k Hingga RM10k Untuk 2 Juta Ahli

Terbaru, KWSP telah mengumumkan maklumat terperinci mengenai kelayakan dan proses pengeluaran caruman daripada Akaun 1 di bawah program i-Sinar.

Kriteria kategori 1

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan terdapat dua kategori yang layak memohon. Permohonan dibuka secara dalam talian bermula 21 Disember 2020.

Kriteria bagi kategori 1 iaitu ahli yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di sektor ekonomi gig, sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Kriteria bagi Kategori 1 adalah:

1. Ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan.

2. Ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas 1 Mac 2020.

Bagi kategori ini ahli boleh memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my bermula 21 Disember 2020. Tiada dokumen sokongan diperlukan dan kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP. Pembayaran untuk ahli yang layak akan bermula dari pertengahan Januari 2021.

Kriteria kategori 2

Kriteria bagi Kategori 2 adalah ahli yang masih bekerja tetapi mereka mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas iaitu termasuk pengurangan gaji, elaun atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa selepas 1 Mac 2020. Untuk makluman, pengurangan itu hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.

Bagi kategori ini, ahli boleh memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 11 Januari 2021. Pembayaran akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya, selepas kelulusan diberi.

Dokumen yang diperlukan

Sekadar gambar hiasan

Dokumen sokongan yang diperlukan:

1. Slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan.

2. Notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan / atau tuntutan kerja lebih masa. (Jika dokumen di atas tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan).

Tertakluk kepada baki simpanan

Sekadar gambar hiasan

Jumlah kelayakan i-Sinar tertakluk kepada baki simpanan Akaun 1 ahli berdasarkan butiran terkini seperti berikut:

a. Ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

b. Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM100,000 dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran maksimum 10 peratus atau RM60,000 (yang mana lebih rendah) daripada Akaun 1. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.

Bagi memastikan kelancaran proses permohonan, ahli digalakkan untuk mendaftar i-Akaun, mengemas kini nombor telefon bimbit untuk menerima Transaction Authorisation Code (TAC) di kios atau kaunter KWSP, dan memastikan nombor akaun bank mereka adalah aktif.

Kenyataan media

Sumber: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

SKIP THIS AD ×