‘Kasih ibu bawa ke syurga, kasih bapa sepanjang masa’ begitulah ungkapan yang sesuai digambarkan mengenai hubungan erat antara anak dan ibu atau suami dan isteri. Tidak dapat dinafikan lagi setiap dari kita memerlukan kasih dan sayang dari seorang ibu.
Walaupun pernah berlaku perselisihan faham terhadap ibu namun, kita masih memerlukan mereka sebagai pelengkap kehidupan kerana hubungan ini diibaratkan air dicincang tidak akan putus. Begitulah gambaran hubungan akrab yang terjalin menerusi filem ‘Bu, Kasih Suci‘.
Tiga kisah keluarga kecil
‘Bu, Kasih Suci‘ arahan Jeany Amir ini mengisahkan mengenai tiga keluarga kecil yang mempunyai masalah dan perselisihan faham antara satu sama lain. Masing-masing menyimpan impian dan mengharungi ujian memiliki zuriat bagi melengkapkan lagi keluarga bahagia.
Konflik keluarga kecil Aishah
Watak Aishah dipegang pelakon hebat, Nadiya Nisaa sebagai seorang suri rumah sepenuh masa. Hidupnya mula tertekan dan rasa tidak dihargai apabila suaminya, Norman (Rashidi Ishak) sebagai doktor lebih komited terhadap kerja daripada diri dan keluarga.
Manakala, anak perempuan mereka, Julie (Tia Sarah) jarang berada di rumah dan suka bergaul dengan rakan-rakan menghadiri event cosplay. Hubungan di antara mereka mula dingin apabila Norman asyik sibuk bekerja dan tidak mempedulikan keluarga.
Kandungan bayi berdepan risiko
Impian untuk memiliki zuriat akhirnya dimakbulkan apabila Nora (Nadia Brian) disahkan hamil setelah dia dan suami, Hafiz (Remy Ishak) mencuba beberapa tahun. Malangnya, usia Nora yang mencecah 40 tahun menyebabkan kandungan berdepan dengan risiko tinggi dan perlu dijaga dengan sebaik mungkin.
Pasangan ini juga mempunyai konflik apabila Hafiz yang bekerja sebagai tukang masak meletakkan jawatan kerana masalah dengan majikan. Akan tetapi hubungan Hafiz dan Nora makin rapat apabila masing-masing saling memberi semangat untuk Hafiz terus menulis dan menjadi seorang novelis.
Ingin memiliki cucu tidak kesampaian tapi..
Sebagai seorang ibu di akhir usia sememangnya mengharapkan untuk mendukung dan bermain dengan cucu. Seperti hasrat terpendam Kak Mah (Dian P. Ramlee) yang inginkan anak lelakinya, Zack (Iedil Putra) dapat memberi cucu.
Namun, hasrat Kak Mah tidak kesampaian apabila Diana lakonan Mawar Rashid bercadang menangguh rancangan mengandung bayi demi masa depan kerjaya. Walaupun mendapat sokongan daripada suami, namun tidak dipersetujui ibu Zack.
Konflik tercetus lagi apabila Kak Mah dan Diana mendapat tahu syarikat Zack bekerja baru saja gulung tikar dan dia kehilangan sumber pendapatan keluarga.
Satu tragedi pertemukan mereka
Keadaan menjadi semakin serius dan garisan kehidupan semua watak mula bersilang apabila Zack cuba mendapatkan Diana yang tengah mengamuk kerana rasa tertipu dengan suaminya. Sehingga menyebabkan kereta dipandu Zack melanggar Aishah di sebatang jalan ketika dalam perjalanan menghantar props cosplay kepada Julia.
Insiden tersebut menyebabkan Aishah kehilangan banyak darah dan terpaksa melakukan pembedahan di bahagian kepala. Kejadiaan itu menyebabkan keluarga kecil pasangan Aishah dan Norman kembali pulih seperti sebelum ini.
Sediakan tisu pada 11 April ini
Filem mengisahkan kekeluargaan dan hubungan rapat antara anak dan ibu ini pasti membuatkan anda rindukan ibu di kampung halaman. Pengorbanan seorang ibu dalam melahirkan, membesarkan dan memberi didikan ilmu pasti tiada tolok bandingnya dengan wang ringgit. Jangan lupa untuk bawa sekali tisu ke pawagam pada 11 April 2019 ini!