Insiden pembunuhan kejam di Hong Kong melibatkan seorang pelacur wanita yang diseksa dan dihukum bapa ayam telah mencetuskan pelbagai spekulasi. Pembunuhan kontroversi itu diketahui oleh pihak polis pada Mei 1999 apabila seorang gadis 14 tahun yang dikenali sebagai Ah Fong membuat laporan mengalami gangguan mistik hantu seorang perempuan.
Pada awalnya, pihak berkuasa Hong Kong kurang mempercayai aduan dari gadis ini dan menyuruhnya pulang. Bagaimanapun, polis mula tertarik untuk mengetahui kes ini apabila Ah Fong memaklumkan ‘hantu’ tersebut merupakan mangsa pembunuhan yang turut disertainya.
Kepala disumbat ke dalam Hello Kitty
Pihak polis membuat keputusan menyerbu kediaman Ah Fong dan menemui satu rangka kepala seorang wanita yang disumbat di dalam patung Hello Kitty miliknya. Kes terbabit dikenali sebagai ‘pembunuhan Hello Kitty’ dan dianggap sebagai salah satu kes pembunuhan paling kejam dalam sejarah Hong Kong. Polis mula menyiasat dan membuka kes ini bagi mengetahui kronologi disebalik pembunuhan mangsa Hello Kitty itu.
Polis didedahkan mangsa wanita itu bernama Fan Man Yee di mana sebelum ini mempunyai kehidupan yang tragis. Fan dibesarkan di rumah anak yatim setelah dia ditinggalkan keluarga. Difahamkan, Fan telah terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah yang teruk di usia remaja. Demi memuaskan ketagihan, dia telah memilih untuk menjadi seorang pelacur dan pelayan di sebuah kelab malam di usia 23 tahun.
Bertemu dengan bapa ayam
Pada awal tahun 1997, dia telah bertemu dengan Chan Man-lok yang merupakan seorang pengedar dadah dan bapa ayam. Dia bagaimanapun mengambil keputusan bekerja sebagai seorang pelacur untuk Chan.
Segala-galanya bermula apabila Fan bertindak mencuri sejumlah wang dari Chan. Setelah menyedari perlakuan Fan, bapa ayam tadi telah mengarahkan dua orang suruhan iaitu Leung Shing-cho dan Leung Wai-Lun menculik wanita berkenaan.
Difahamkan, pada mulanya Chan hanya berniat mahu memaksa Fan melacurkan diri sehingga dapat membayar semula sejumlah wang yang dicurinya. Namun begitu, rancangan tersebut mula berubah arah tidak lama kemudian.
Fan Man Yee teruk dibelasah dan diseksa oleh Chan serta orang suruhannya selama sebulan. Mangsa wanita itu diikat di atas sebuah kerusi sebelum dipukul sehingga lunyai dan tak bermaya. Tidak cukup dengan itu, kulit mangsa juga dibakar dan dirogol berkali-kali.
Penglibatan Ah Fong
Pengaduan gadis 14 tahun ini telah membawa kes ini dimuka pengadilan dan mahkamah Hong Kong mendedahkan gadis 14 tahun ini merupakan teman wanita kepada Chan. Polis juga percaya bahawa Ah Fong juga merupakan salah seorang pelacur di bawah seliaan Chan.
Menurut gadis ini, dia pernah melihat teman lelakinya menendang kepala mangsa sebanyak lebih kurang 50 kali sebelum dia bertindak menyertai penyeksaan itu. Apabila disoal mengenai motif kejadian, Ah Fong hanya memberitahu dia beranggapan hanya seronok dilakukan bersama-sama.
Simpan gigi mangsa
Selepas sebulan diseksa dengan kejam, Ah Fong mendapati Fan Man Yee telah meninggal dunia di atas kerusi penyeksaannya. Demi menutup jenayah yang dilakukan, Chan membuat kesimpulan bahawa Fan mati akibat pengambilan dadah jenis methamphetamine berlebihan.
Mayat mangsa telah diletakkan di dalam tab mandi oleh orang suruhan sebelum jasad dikerat kepada beberapa bahagian. Kemudian, cebisan daging Fan dimasak untuk mengelakkan proses pereputan. Cebisan daging yang dimasak tadi telah dibuang bersama-sama sampah biasa.
Bapa ayam itu membuat keputusan untuk menyimpan bahagian kepala mangsa dan disumbatnya ke dalam sebuah patung Hello Kitty bersaiz besar. Chan dilaporkan menyimpan satu daripada gigi milik Fan dan beberapa organ dalamannya di dalam sebuah plastik.
Pihak polis tidak dapat mengenal pasti punca kematian mangsa. Beberapa bukti lain yang berjaya dijumpai di tempat kejadian sudah cukup untuk menghukum Chan dan dua yang lain.
Sumber: allthatsinteresting