Tular baru-baru ini, sebuah video yang memaparkan seorang remaja lelaki dipercayai memandu kereta tanpa lesen bersama ibu dan rakannya.
Artikel Berkaitan: Tiada Unsur Mistik ‘Tok Wan’ Badan Berbulu, Budak 6 Tahun Pandai Memandu
Artikel Berkaitan: Isu Kanak-Kanak 6 Tahun Bawa Kereta, Ibu Perjelas Apa Yang Terjadi – ‘Anak Panjat Kerusi Ambil Kunci’
Pandu sejauh 4 kilometer
Menerusi video, kereta jenis Proton Iswara Aeroback berwarna hitam itu telah dipandu oleh remaja lelaki berusia 13 tahun kira jam 3 petang di Jalan Rozhan, Macang Bubuk di Bukit Mertajam.
Memetik laporan Harian Metro, menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San menjelaskan bahawa pihaknya telah mengesan video tular tersebut sebelum mengambil tindakan.
Remaja itu memandu kereta sejauh kira-kira empat kilometer dan gelagatnya dilihat orang awam menyebabkan mereka menahannya sebelum tular di media sosial.
Susulan itu, pihak polis telah mengambil tindakan dengan menahan remaja tersebut bersama ibu dan rakannya.
Ekoran video terbabit, polis menjejaki remaja itu dan menahannya di hadapan Flat Taman Machang Bubuk pada hari sama.
Selain remaja yang memandu kenderaan itu, polis turut menahan ibunya berusia lewat 40-an dan rakan yang juga berusia 13 tahun yang berada dalam kereta ketika kejadian.
Pihak polis kemudian mengeluarkan tiga saman mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Saman itu dikeluarkan mengikut Seksyen 26(1) kerana tiada lesen memandu, Seksyen 39(1) kerana memandu di bawah umur dan ibu suspek yang juga pemilik kereta disaman di bawah Seksyen 39(5) kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu.
Dalam pada itu, polis menasihati ibu bapa supaya tidak membenarkan kanak-kanak memandu kereta atau menunggang motosikal kerana ia merupakan tindakan yang boleh membahayakan kanak-kanak tersebut serta pengguna jalan raya yang lain.
Sumber: Harian Metro