Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila Kejohanan bola keranjang Malaysia Basketball Association (MABA) dilihat menggunakan Jalur Gemilang yang salah ketika upacara pembukaannya malam tadi. Perkara itu telah mengundang kritikan netizen sehingga mendesak supaya tindakan tegas dikenakan terhadap persatuan terbabit.
MABA bagaimanapun dilaporkan sudah membuat permohonan maaf dan berkata akan bertanggungjawab sepenuhnya tentang perkara itu. Susulan kejadian, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuka mulut dan memberikan kritikan pedasnya terhadap penganjur acara tersebut.
Tak terima alasan
Saya tidak terima alasan “tersilap bendera”
Budak kecil berumur 5 tahun pun boleh tahu mana satu bendera MALAYSIA.
Saya sudah arahkan pejabat PJS siasat & ambil tindakan dengan segera.
Kita marah jika orang asing perlekehkan bendera Malaysia. Kita bagaimana? pic.twitter.com/HEsU8gtbd4
— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) November 26, 2019
Menerusi satu tweet yang dimuatnaik olehnya, Syed Saddiq berkata beliau tidak dapat menerima alasan ‘tersilap bendera’ yang digunakan oleh penganjur.
Malah beliau menerusi laporan Harian Metro turut menyifatkan tindakan MABA itu sebagai sangat memalukan dan tidak melambangkan budaya Malaysia.
Pertamanya, tindakan mempamerkan bendera salah sangat memalukan dan sama sekali tidak melambangkan budaya Malaysia. Ia sangat memalukan.
Pengkhianatan negara
Harap penganjur dikenakan tindakan tegas ,bendera Malaysia diubah…??? pic.twitter.com/nT1wZfHaXH
— 999 Malaysia ?? (@999Malaysia) November 26, 2019
Ekoran daripada kejadian itu, felo utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Teo Kok Seong menerusi laporan Sinar Harian menganggap perkara itu sebagai satu tindakan yang biadab dan merupakan pengkhianatan terbuka kepada negara.
Katanya, ‘kesilapan’ tersebut seolah-olah mempersendakan negara kerana Jalur Gemilang diketahui sebagai satu lambang dan kedaulatan negara.
Ini satu kesilapan besar dan sangat ketara, ia sungguh mendukacitakan. Bagaimana simbol kedaulatan negara ini diperlakukan sedemikian rupa.
Tindakan biadab ini seolah mempersendakan negara. Jalur Gemilang adalah satu lambang kebesaran dan kedaulatan negara. Oleh itu kita jangan ambil mudah terhadap perkara ini.
Polis siasat
Sementara itu, terbaru Berita Harian melaporkan polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut dan pihaknya sudah merakam keterangan Presiden MABA Datuk Lua Choon Han berhubung perkara itu.
Beliau (Choo Han) hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada jam 8 pagi tadi, untuk menjelaskan insiden berkenaan. Beliau memaklumkan kejadian itu bukan daripada pihaknya, sebaliknya daripada kontraktor Teknologi Maklumat (IT).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata pihaknya juga akan memanggil kontraktor IT terbabit untuk membantu siasatan.
Sumber: Harian Metro, Berita Harian, Sinar Harian, Twitter Syed Saddiq