Ibu dan ayah mesti pernah terlihat tompokan berwarna biru kehijauan pada tubuh anak mereka yang baru lahir. Tompokan itu sebenarnya digelar sebagai ‘Mongolian Spot’ yang merupakan sejenis pigmentasi kulit dan biasa dijumpai pada bayi di Asia termasuk Malaysia.
Seorang doktor Khairul Faizie berkongsikan fakta sebenar tentang apa itu Mongolian Spot yang mungkin sehingga ke hari ini menjadi kerisauan sesetengah ibu bapa.
Banyak mitos
Pernah nampak kulit bayi baru lahir ada tompokan atau tanda lahir warna biru kehijauan?
Tompokan ini banyak menimbulkan mitos dalam masyarakat kita, hingga ke hari ini. Ada yang kata kulit bayi kotor sebab bayi dah berak kat dalam rahim sebelum lahir, tompok kena ludah dengan jin, mak bayi tu minat sangat kat Incredible Hulk masa mengandung, bayi kena dera atau terjatuh masa dilahirkan jadi ada kesan lebam !
Jadi, kita rungkaikan mitos ni.
Fakta!
Kesan tompokan biru atau kehijauan yang biasa terjadi pada kulit bayi baru lahir tu namanya Mongolian Spots.
Mongolian spots ni paling biasa ditemui pada bayi yang kulitnya agak gelap. Tompokan ini wujud kerana wujudnya sel-sel Melanocytes di lapisan Dermis kulit.
Anatomi: Kulit manusia lapisan paling atas ialah Epidermis. Dalam keadaan biasa, sel Melanocytes ini terletak di lapisan epidermis. Fungsi sel ini ialah hasilkan pigment melanin, yang mana melanin akan beri warna kulit.
Semasa proses tumbesaran bayi dalam rahim, ada antara sel Melanocytes ini yang tak sampai bergerak ke lapisan Epidermis. Ia terperangkap di lapisan dermis. Sel ini hasilkan melanin di lapisan dermis ( proses dipanggil Dermal Melanocytosis), yang akan menghasilkan tompokan Mongolian spots ini.
Mongolian spots boleh bersaiz kecil, atau ada yang tompokan besar. Warnanya biru kehijauan, ianya rata dan tidak timbul. Ianya tidak sakit bila ditekan (ada yang salah anggap ianya kesan lebam sebab jatuh atau kena dera ).
Tak merbahaya, tak berjangkit
Mongolian spots selalu ditemui di kawasan belakang badan bayi baru lahir, dan juga di kawasan sekitar punggung.
Ianya tak merbahaya, tak menjangkit, tak ada kaitan dengan sebarang penyakit lain. Ianya tak perlu rawatan, tak payah di sapu apa-apa krim. Biarkan sahaja.
Mongolian spots akan hilang sendiri apabila bayi membesar masuk umur 4- 6 tahun. Tompokan yang besar mungkin ambil masa lebih lama untuk hilang.
Sumber: Facebook Dr Khairul Faizie