berita

‘CCTV Menunjukkan Dia Mengikat Lehernya Sebelum Menggantung Diri Di Jeriji Lokap’ – Polis

November 26th, 2019 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Media sebelum ini melaporkan seorang abang tidak berpuas hati terhadap kematian adiknya yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis. Mohd Fadzli Zaidi meminta agar kes kematian adiknya disiasat segera ekoran didakwa menggantung diri di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPDSPU) selepas diberkas disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 20 gram.

Susulan itu menerusi laporan Harian Metro, polis Pulau Pinang semalam berkata, pihaknya bersedia untuk menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kepada keluarga tersebut sekiranya mereka memohon kepada pihak berkuasa.

Memang gantung diri

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasegaran polis akan membenarkan keluarga suspek berusia 29 tahun itu untuk melihat rakaman CCTV supaya mereka berpuas hati dan dapat melihat sendiri apa yang berlaku ketika lelaki itu di dalam lokap.

Katanya, suspek tersebut telah membunuh diri, malah rakaman CCTV juga menunjukkan dia mengikat lehernya sebelum menggantung diri di jeriji lokap.

Jadi, jika keluarga mahu melihatnya, maka polis boleh benarkan mereka tengok supaya semuanya berpuas hati dan melihat sendiri apa yang berlaku ketika lelaki itu berada dalam lokap.

Penahanan dan siasatan ikut SOP

Jelas beliau, penahanan dan proses reman serta siasatan yang dijalankan terhadap lelaki itu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan setakat ini kematian tahanan tiada unsur kecuaian atau jenayah.

Majistret dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) juga sudah datang melawat lokap serta melihat rakaman CCTV semasa kejadian berkenaan untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, menerusi laporan Malaysiakini, Ketua Polis Daerah Seberang Jaya Noorzainy Mohd Nor berkata polis telah membuka satu siasatan dalaman bagi membuktikan jika terdapat sebarang pelanggaran SOP oleh anggota yang bertugas ketika waktu kejadian.

Sekarang ini kita ada dua kertas siasatan. Satu di bawah laporan kematian mengejut dan satu lagi kita siasat jika terdapat dari segi prosedur operasi standard (SOP) jika ada kecuaian atau apa-apa. Ini (siasatan) dalaman kita perlu lihat terlebih dahulu ada kesalahan atau tidak.

Kita tidak akan melindungi apa-apa. Kalau ada kecuaian anggota saya akan ambil tindakan.

Lelaki itu ditahan di Kampung Perlis, Butterworth pada Rabu lalu bersama rakannya sebelum direman selama tujuh hari.

Bagaimanapun, ketika dia ditempatkan di lokap IPD SPU pada Jumaat lalu, seorang tahanan mendapati lelaki berkenaan sudah tidak bernyawa selepas menggantung dirinya.

Sumber: Harian Metro, Malaysiakini

The following two tabs change content below.

Azizi Rahman

Content Champion at Rev Asia Berhad
Semoga dunia kembali pulih!

SKIP THIS AD ×