Mengejar cinta Dhea lakonan Neelofa bukannya mudah. Apatah lagi Dhea menganggap Andy (Beto Kusyairy) seorang lelaki yang amat menjengkelkan. Bagaimana pun, usaha Andy untuk memikat hati Dhea berjaya setelah membuktikan keikhlasannya untuk menjadikan Dhea sebagai kekasih hati.
Apabila perasaan cinta di antara mereka kian mekar, Andy terpaksa ke Perth, Australia, untuk menemui rakannya, Johan (Shah Iskandar). Johan merupakan rakan Andy sejak kecil lagi di mana ketika mereka berusia 6 tahun, Johan telah menyelamatkan Andy yang yatim piatu dari hidup jalanan, membawanya pulang ke rumah dan melayannya seperti keluarga sendiri. Oleh kerana ini, Andy amat terhutang budi dengan Johan dan sanggup melakukan apa sahaja untuk sahabat hidup matinya itu.
Sebelum ke Perth, Andy telah berjanji dengan Dhea untuk kembali ke pangkuannya selepas 7 hari tetapi setelah berjumpa dengan Johan dan mengetahui tujuan dia memanggil Andy ke sana, Andy kini tahu dia tersepit di antara dua jenis dilema yang berbeza. Johan sebenarnya menghidapi penyakit genetik yang menjejaskan kawalan otot dan mendorong kepada kemerosotan pemikiran. Apa yang menyedihkan adaalah penyakit ini tidak mempunyai sebarang penawar dan Johan memang tidak dapat disembuhkan.
Apabila Johan mendapat tahu dia menghidapi penyakit ini, dia berfikir masak-masak dan ingin Andy menjaga teman wanitanya Vee (Izreen Azmindar), sebaik mungkin. Andy terasa berbelah bahagi kerana saat ini dia sedang leka dibuai cinta Dhea. Oleh kerana terhutang budi kepada Johan, Andy terpaksa mengotakan janjinya untuk membahagiakan Vee.
Kini bermulalah penipuan demi penipuan oleh Andy. Dia memberitahu Vee bahawa Johan telah pulang ke rumahnya dan ingin memutuskan hubungannya dengan Vee. Vee begitu terluka dengan keputusan Johan. Bagi Andy pula, percubaan untuk membuatkan wanita jatuh cinta padanya adalah sememangnya sulit dan percubaan untuk membuatkan wanita yang terluka agar jatuh cinta terhadapnya adalah berganda sulitnya. Apa yang membuatkan situasi ini lebih mustahil adalah Andy memang tiada perasaan terhadap Vee tetapi terpaksa melakukannya tanpa kejujuran kerana tiada pilihan lain.
Pada masa yang sama, Andy tetap mencuba sedaya upaya untuk bertemu dengan Dhea. Andy hidup dalam dua dunia dan dia tahu suatu hari nanti, semuanya pasti akan terbongkar… Apakah Andy akan mengotakan janjinya terhadap Johan untuk membahagiakan Vee atau adakah dia akan mengikut kata hatinya untuk bersama Dhea?
Pastikan anda menonton kesudahan telefilem Janji Jujur Sepi menerusi Skrin Di 9 pada 13 Jun ini (Rabu) jam 8.30 malam!