Kes melibatkan kematian ekoran wabak Covid-19 ini dilihat semakin meningkat naik. Hari ini telah mencatat lebih dari 2 kematian. Selepas diumumkan kes kematian berjumlah 6 orang, Ketua Pengarah Kesihatan KKM Noor Hisham Abdullah, menerusi Facebooknya menyatakan bahawa jumlah keseluruhan kes kematian daripada wabak ini adalah berjumlah 8 kematian. Selain dua daripada mangsa ibu dan anak dari Sarawak, terdapat dua lagi mangsa yang masing-masing meniggal di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Kota Bharu.
4 kematian dicatatkan hari ini
Dukacita dimaklumkan bahawa sehingga kini, terdapat pertambahan empat (4) lagi kes kematian berkaitan COVID-19 yang telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan KKM. Pelaporan terbaru ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak lapan (8) sehingga kini. Pertambahan kes tersebut adalah seperti berikut:
– Kes kematian kelima adalah melibatkan seorang wanita berusia 79 tahun warganegara Malaysia yang telah dimasukkan ke Borneo Medical Centre pada 16 Mac 2020 setelah mengalami demam dan batuk selama 5 hari. Pada hari kedua, beliau mengalami kesukaran bernafas namun keluarga tidak mempersetujui beliau diberi bantuan alat pernafasan. Beliau dibawa pulang oleh keluarga pada 17 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 18 Mac 2020. Beliau mempunyai kontak dengan dua orang lagi yang disahkan positif iaitu anak lelaki dan anak perempuan beliau.
– Kes kematian keenam pula melibatkan anak perempuan kes kematian kelima. Kes ini melibatkan seorang wanita warganegara Malaysia berumur 40 tahun yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 18 Mac 2020 setelah mengalami demam dan batuk sejak 7 Mac 2020. Beliau disahkan positif COVID pada 19 Mac 2020 dan diberi bantuan pernafasan pada hari yang sama setelah didapati keadaan kesihatan beliau semakin merosot. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 tengah hari pada 21 Mac 2020.
KKM ucap takziah buat ahli keluarga
– Kes kematian ketujuh melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 57 tahun, mempunyai sejarah perjalanan ke Vietnam dan kontak dengan kes positif COVID-19 dari kluster tabligh. Beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020 setelah mengalami gejala demam, batuk dan sakit tekak selama seminggu. Keadaan kesihatan beliau kemudiannya merosot sehingga memerlukan bantuan pernafasan pada keesokan harinya. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 3.22 petang pada 21 Mac 2020.
– Kes kematian kelapan pula adalah melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 69 tahun daripada kluster tabligh. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 16 Mac 2020 setelah mengalami gejala demam sejak 12 Mac 2020. Beliau telah dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 18 Mac 2020 setelah didapati keadaan kesihatan merosot dan kemudian memerlukan bantuan alat pernafasan pada keesokan harinya. Beliau disahkan meninggal dunia pada 21 Mac2020 pada jam 4.00 petang.
KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.
Sumber: Noor Hisham Abdullah