Seperti yang kita tahu, negara kita ketika ini sedang dilanda musim panas kering yang boleh mencecah sehingga 38-40 darjah celcius tanpa kira siang ataupun malam.
Apabila suhu terlalu tinggi melanda, kita sangat berpotensi untuk diserang strok haba yang boleh menyebabkan kelesuan dan kematian.
Artikel Berkaitan: Cuaca Panas & Kering Hingga Hujung Mac, Ini Yang Anda Perlu Lakukan Elak Strok Haba
Artikel Berkaitan: Kanak-Kanak Perempuan Usia Setahun Maut Akibat Strok Haba – ‘Air Dalam Badan Semua Kering’
Apa itu strok haba?
Foto: Kementerian Kesihatan Malaysia
Strok haba merupakan satu keadaan serius yang diakibatkan oleh pendedahan kepada keadaan sekeliling yang panas melampau sehingga boleh menyebabkan badan tidak lagi mampu untuk menstabilkan suhu badan.
Keadaan ini berlaku apabila suhu badan meningkat dalam keadaan drastik dan cepat melebihi 40°C (darjah celsius) atau lebih.
Golongan berisiko tinggi
Foto: Kementerian Kesihatan Malaysia
Terdapat beberapa golongan ataupun individu yang mempunyai risiko tinggi untuk diserang strok haba. Antara golongan yang berisiko tinggi ialah individu yang melakukan aktiviti ataupun bekerja dalam keadaan sekeliling yang panas pekerja pembinaan, petani, pengawal keselamatan, polis, tentera, bomba, pengendali jentera berhaba dan juga atlet.
Bukan itu sahaja, individu seperti warga emas, kanak-kanak serta mereka yang mempunyai penyakit kronik juga merupakan antara golongan yang mempunyai risiko tinggi untuk diserang strok haba.
Tanda anda diserang strok haba
Foto: Kementerian Kesihatan Malaysia
Justeru itu, kita perlu sentiasa berwaspada dengan mengetahui tanda-tanda serta gejala apabila diserang strok haba. Antara tanda-tanda seseorang itu diserang strok haba ialah:
- Denyutan jantung menjadi cepat dan pesakit akan merasa berdebar-debar
- Pernafasan laju dan pendek
- Badan terasa panas dan kering
- Sakit kepala, pening dan kepala rasa berpusing
- Berasa mual
- Peningkatan suhu badan secara mendadak sehingga 40°C atau lebih (suhu badan normal: 36.5°C hingga 37.5°C)
- Tekanan darah menurun (tekanan darah normal: 120-140/60-80 mmHg)
- Tidak sedarkan diri, pengsan atau sawan
Apa yang anda perlu lakukan
Foto: Kementerian Kesihatan Malaysia
Kita sangatlah disarankan untuk melakukan beberapa langkah pencegahan bagi mengelakkan diri daripada diserang strok haba. Antaranya ialah:
- tidak melakukan aktiviti di bawah sinaran matahari terik atau dalam keadaan panas untuk tempoh yang panjang
- elak melakukan aktiviti fizikal dalam keadaan letih, lapar atau dahaga yang keterlaluan
- pastikan diri terhidrat dengan minum air kosong tiga (3) hingga empat (4) liter sehari
- mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang, memakai pakaian yang longgar dan ringan serta pelindung haba seperti topi atau payung
- tidak meninggalkan sesiapa di dalam kenderaan yang parkir di bawah matahari terik
- memastikan pengudaraan yang cukup atau pendingin hawa jika berada dalam rumah atau premis
Namun, sekiranya dikhuatiri kita mempunyai gejala diserang strok haba, kita disarankan untuk mendapatkan rawatan di klinik mahupun hospital berdekatan secepat yang mungkin.
Terdahulu, terdapat dua kes kematian kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 11 dan setahun di Kelantan yang berpunca daripada serangan strok haba.
Justeru itu, diharapkan agar kita semua menjadi lebih peka tentang perkara ini supaya dapat mengelakkan lebih banyak lagi kes kematian yang diakibatkan oleh strok haba.
Sumber: eCentral