Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak setakat ini telah didakwa 3 kali di mahkamah atas pelbagai kesalahan antaranya membabitkan tujuh pertuduhan berkaitan menerima wang hasil daripada aktiviti haram, pecah amanah dan salah guna jawatan.
Namun, disebabkan jumlah wang ikat jamin yang semakin meningkat setelah pertuduhan demi pertuduhan dihadapi, Najib dan keluarga menghadapi kesukaran untuk menjelaskannya.
Ikat jamin cecah RM6.5 milion!
Menurut Nooryana Najib atau Yana menerusi Instagramnya, beberapa bulan kebelakangan ini adalah detik-detik sukar untuk ibu bapanya kerana perlu menghadapi kes mahkamah yang memerlukan sumber kewangan yang banyak dipihaknya.
Beberapa bulan ini amat mencabar untuk mummy dan daddy. Selain bayaran peguam, bayaran ikat jamin untuk keduanya telah mencecah RM6.5 milion setakat ini. Kami telah meminta pertolongan dari saudara-mara selain mempunyai tabung bantuan serta simpanan mummy daddy.
Malahan, menurut Yana, bapanya terpaksa mengeluarkan simpanan dari gajinya sejak berkhidmat untuk tujuan itu.
Daddy juga terpaksa mengorek simpanannya di Affin Bank Wangsa Maju yang digunakan untuk menerima gaji, elaun, dan pencen setelah puluhan tahun berkhidmat dengan kerajaan.
Cuba buka akaun bank untuk tabung bantuan tapi..
Ujar Yana lagi, adiknya Ashman telah mencuba untuk membuka akaun bank bagi kutipan tabung bantuan pembayaran ikat jamin Najib tetapi urusan itu tidak berjaya. Pihak bank tidak mahu mengambil risiko kerana bimbang dilihat seperti membantu bekas perdana menteri itu.
Sejak daddy dituduh untuk kali ketiga, 2 minggu lalu, adik saya Ashman telah mencuba untuk membuka akaun di sebuah bank untuk tujuan tabung kutipan derma orang ramai.
Namun, dia tidak berjaya apabila pegawai bank secara senyap-senyap memberitahu pihak pengurusan takut untuk membantu kerana seperti dilihat membantu daddy. Urusan pembukaan akaun akhirnya ditolak.
Yana turut menyeru pihak bank untuk tidak akur kepada tekanan kerajaan sekarang dan mengizinkan urusan pembukaan akaun demi keadilan ayahnya.
Demi keadilan, saya berharap pihak bank tidak tunduk kepada tekanan kerajaan sekarang dan mengizinkan adik saya menjalankan tanggungjawabnya untuk menolong ibu bapa kami.
Sumber: Yana Najib