berita

Dafi Yakin ‘Papa’ Mampu Galas Tanggungjawab Dengan Baik – ‘Dia Tak Nak Lihat Orang Lagi Susah’

August 20th, 2021 | by Zulaikha
Kini Trending

Penyanyi Dafi, 33, meluahkan rasa bangga apabila bapanya, Datuk Seri Ismail Sabri telah dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Jumaat.

Papa akan buat yang terbaik

Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail yakin bapanya akan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.

Katanya, kejayaan yang dicapai oleh bapanya di saat ini adalah hasil usaha kerja kerasnya yang bermula dari bawah.

Saya letakkan diri sebagai seorang rakyat Malaysia biasa. Sudah tentu bila ada pemimpin yang baharu, kita mahukan beliau lakukan yang terbaik dan saya yakin papa akan lakukan sebaik yang mungkin.

Secara peribadi, saya melihat dia seorang yang bekerja keras. Kejayaan beliau sekarang ini adalah hasil kerja kerasnya yang bermula dari bawah. Sejujurnya, hanya saya dan keluarga saya saja tahu betapa dia seorang bapa yang terbaik.

Begitu juga apabila dia menjadi seorang pemimpin yang inginkan yang terbaik untuk seluruh rakyat. Dia pernah hidup susah sebab itu dia tak nak lihat orang lagi susah.

Tak peduli dengan kritikan & kecaman

Dalam pada itu, pelantun lagu Bila Terasa Rindu akui sudah bersedia untuk menerima kecaman dan kritikan daripada individu yang kurang senang dengan dirinya dan keluarga.

Enggan terasa hati, peserta Akademi Fantasia musim ke-5 memilih untuk menerima setiap pendapat dengan fikiran yang positif.

Saya bukan harus bersedia tapi memang dah bersedia. Bagi saya, dalam hidup ini bukan semua orang akan suka kita… sama juga la bukan semua orang kita suka.

Apa saja kritikan selepas ini, saya menerima dengan positif sebab semua orang ada pendapat masing-masing. Saya sendiri pun kena sentiasa berfikiran positif.

Lagipun dari dahulu lagi saya jenis tak ambil pusing dengan kritikan atau kecaman. Sejak kecil saya ikut papa, dan apa yang saya belajar daripada dia, kita kena sentiasa fikirkan orang lain.

Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri.

Datuk Seri Ismail Sabri akan menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu selepas Ahli Parlimen Pagoh itu hilang majoriti sokongan di Dewan Rakyat.

 

Sumber: Instagram @dafiismailsabri

SKIP THIS AD ×