berita

Da’i Syed Bebas Pertuduhan Cabul & Persetubuhan Luar Tabii Penuntut Kolej

May 31st, 2022 | by khairil
Isu & Kontroversi

Foto: daisyed_

Pendakwah selebriti, Da’i Syed dilepaskan dan dibebaskan daripada dua pertuduhan mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang penuntut kolej swasta, hari ini di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Artikel Berkaitan: Da’i Syed Berdepan Dakwaan Seks Luar Tabii & Keganasan Seksual Terhadap Penuntut

Hakim setuju hujahan peguam

Foto: Metro

Hakim Jamaludin Mat memutuskan keputusan selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal,27, daripada kedua-dua pertuduhan itu.

Saya bersetuju dengan hujahan peguam supaya kes ini dilepas dan dibebaskan. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah bagi kedua-dua kes dan wang jaminan (RM25,000) dikembalikan.

Terdahulu, Syed Shah Iqmal atau lebih dikenali sebagai Da’i Syed pada 10 Disember 2020 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap wanita berumur 22 tahun (ketika itu) dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana di sini, antara 3 hingga 4 pagi, 17 Okt 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi kes menggunakan kekerasan jenayah, pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Sumber: Berita Harian

SKIP THIS AD ×