Suami kepada penyanyi Adira Suhaimi iaitu Datuk Red tidak mahu mengharapkan hadiah atau ‘gift’ yang diberikan oleh penonton setiap kali dia melakukan sesi siaran langsung di TikTok sebagai cara mendapatkan duit.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Tahun Ini Raya Lain Sikit, Jaga Mummy & Adik-Adik Tau’ – Datuk Red Titip Pesanan Untuk Anggrek
Artikel Berkaitan: Bekas Isteri Tak Halang Datuk Red Jumpa Anak-Anak, Netizen Terkejut Baru Tahu Datin Red, Adira Rupanya Nombor Dua & Tiga
Tak mahu harapkan gift
Akui memperoleh hasil yang lumayan, Datuk Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan Abu bagaimanapun berkata dia lebih suka penonton membeli produk yang dijual kerana itu merupakan niat utamanya melakukan siaran langsung di TikTok.
Malah, Datuk Red berasa segan dengan anak-anaknya dan tidak mahu mereka berfikir dia seperti meminta sedekah.
Niat saya pada waktu itu hanya untuk mencari kerja, bukan untuk menagih sumbangan. Saya buat ‘live’ pun sekadar untuk ceritakan apa yang berlaku kepada kehidupan.
Pada malam itu bertalu-talu ‘gift’ yang diterima, memang saya sangat terkejut sehingga satu tahap saya terpaksa tamatkan ‘live’. Memang saya akui hasilnya lumayan dan kerjanya cukup mudah, hanya live dan raih pendapatan.
Namun saya tidak mahu begitu, biarlah saya berusaha dengan berniaga. Jika orang simpati dengan saya, belilah barang, sekurang-kurangnya kedua-dua pihak dapat manfaat. Dan follower saya boleh menjadi affiliate dan pendapatan semua akan berkembang.
Anak-anak saya pun tengok TikTok dan saya tak mahu mereka lihat bapanya macam minta sedekah.
Melanjutkan bicara, Datuk Red berkata dia tidak menyangka apabila ramai pihak yang sudi menghulurkan bantuan kepadanya di saat dia diuji dengan pelbagai dugaan termasuk diisytiharkan muflis.
Menurutnya, dia kini mahu bangkit dan menebus segala kekecawaan demi tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.
Memang diakui perasaan malu saya berada pada tahap paling rendah, lebih-lebih lagi apabila orang tahu aib saya. Sebab itu saya perlukan sokongan isteri dan anak-anak untuk kembali stabil. Apa yang berlaku cukup memberi keinsafan dan saya tak mahu lagi seperti dulu, mendongak ke langit.
Saya akui mungkin ramai yang tolong kerana isteri saya artis namun bagi saya, ianya rezeki yang Allah kurniakan. Isteri artis itu cuma sekadar kebetulan. Saya pun tidak minta semua ini, posting itu pada mulanya hanya untuk mencari kerja namun tidak sangka ia tular.
Lima tahun saya sembunyikan diri. Waktu itu saya bimbang andai ia memberi kesan buruk kepada isteri namun tidak sangka rezeki datang dalam bentuk yang lain.
Bimbingan Azizan Osman
Dalam pada itu, Datuk Red meluahkan rasa syukur apabila menerima bimbingan secara rasmi daripada mentor usahawan terkenal, Datuk Wira Dr Azizan Osman.
Selain itu, dia juga dilantik menjadi duta dan rakan kongsi produk HIM Coffee.
Saya berterima kasih kepada Dr. Azizan atas kesediaan beliau untuk membimbing saya dan Dr. Samhan atas peluang untuk berkolaborasi dalam perniagaannya.
Saya akan memberikan komitmen sepenuhnya dengan tunjuk ajar Dr. Azizan untuk mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakan bersama Dr. Samhan.
Sementara itu, Dr. Azizan berkata, bimbingan ini direalisasikan hasil kerjasama Datuk Red dengan pemilik Him Wellness Clinic, Dr. Samhan yang juga seorang pempengaruh terkenal.
Saya yakin dengan kerjasama ini, Datuk Red dapat bangkit semula dan mencapai jualan pertamanya sebanyak RM1 juta dalam tempoh tiga bulan.
InsyaAllah, dengan izinNya dan sokongan daripada semua pihak, saya dan RichWorks akan cuba membantu Datuk Red dengan bimbingan perniagaan agar beliau dapat menyelesaikan hutangnya dan keluar dari muflis dengan memulakan perniagaan baharu ini.
Dengan sokongan padu daripada orang ramai dan komitmen Datuk Red, saya jangkakan beliau akan dapat keluar daripada kesilapan dan belenggu hutang sebanyak RM7 juta ini dalam tempoh tiga tahun.
Cuma syaratnya, kerjasama ini akan dipantau sepenuhnya oleh saya sendiri. Saya akan memberi bimbingan dan strategi perniagaan sehingga hutang itu langsai sepenuhnya.
Dr. Azizan berharap kejayaan Datuk Red ini akan memberikan inspirasi kepada ramai orang yang mungkin menghadapi cabaran yang sama, bahawa setiap orang mampu bangkit dari kegagalan atau cabaran terutamanya dalam bidang ekonomi.