Siapa sangka, derita kencing tidak lawas telah membawa kepada penyakit barah saraf tunjang. Itulah nasib yang menimpa seorang remaja yang dikenali sebagai Muhammad Ilman Farhan.
Menerusi laporan Harian Metro, remaja berusia 16 tahun itu hanya mampu terlantar di katil. Lebih menyedihkan, ibunya merupakan seorang ibu tunggal.
Mengadu kencing tak lawas
Sekadar gambar hiasan
Pada hujung tahun 2018, Muhammad Ilman mengadu kencingnya tidak lawas dan sukar untuk kencing, ada kalanya dia tidak sedar yang dia sudah membuang air. Ketika menghantar dia ke hospital, doktor mengesahkan ada ketumbuhan di belakang pinggang dia dan perlu menjalani pembedahan segera sehingga kedua-dua kakinya kelihatan semakin lemah dan kini seolah lumpuh. Sejak disahkan mengidap kanser tahap tiga ini, Muhammad Ilman terpaksa berhenti sekolah.
Menurut ibu Muhammad Ilman, Nurul Adura Roslan, dia terpaksa mengambil cuti tanpa gaji kerana perlu membawa anaknya berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Tambahnya, setakat ini dia hanya mengharapkan sumbangan dan bantuan daripada orang ramai bagi meringankan beban yang ditanggung mereka sekeluarga.
30 kali rawatan lagi
Tambah Nurul, anaknya kini mendapat rawatan di Institut Kanser Negara (IKN) dan perbelanjaan setiap kali rawatan agak tinggi.
Setiap kali pergi mendapatkan rawatan ia membabitkan kos dan mungkin lama di sana malah kemungkinan ada lebih 30 kali rawatan lagi. Saya ada mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM270 sebulan dan pihak Baitulmal juga ada menghantar bantuan katil dan peralatan perubatan namun, masih tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan dan kos ulang alik dari rumah ke hospital.
Saya dan ibu perlu menjaga Ilman memandangkan dia lumpuh kedua-dua kaki dan tidak boleh menguruskan diri sendiri dan berharap ada pihak dapat menghulurkan sumbangan bagi mengurangkan kesulitan yang ditanggung. Lebih saya terharu, ibu saya terpaksa bekerja sebagai pembantu kedai makan berdekatan untuk menampung keperluan harian di rumah ini.
Mengulas lebih lanjut, Nurul memberitahu ibunya bergilir-gilir membantu menjaga Ilman. Ibunya juga turut bekerja sebagai pembantu kedai makan bagi menampung perbelanjaan keperluan rumah mereka.
Sumber: Harian Metro