Semalam, industri hiburan tanah air diserikan dengan perkhabaran gembira perkahwinan di antara dua orang pelakon iaitu Ardell Aryana dengan Nadzmi Adhwa.
Namun, mungkin masih ramai yang belum tahu kisah sebenar di sebalik perkahwinan itu apabila Ardell mengakui bahawa dia sebenarnya yang telah terlebih dahulu ‘merisik’ Nadzmi sebelum ini.
Merisik Nadzmi lepas Hari Raya Aidilfitri
Menerusi laporan mStar, Ardell, 29, berkata dia sudah merisik Nadzmi selepas Hari Raya Aidilfitri lalu dengan memberikan senaskah Al-Quran untuk difahami dan dikhatamkan.
Katanya, Nadzmi sudah beberapa kali menyatakan hasrat untuk memperisterikannya namun ditolak kerana masih belum bersedia.
Dia ada bagi beratus kali hint nak ajak kahwin tapi saya tak bagi jawapan sebabnya saya tak bersedia lagi, rasa banyak kekurangan dan bukan mudah bergelar isteri.
Sehinggalah selepas Hari Raya Aidilfitri lalu, saya sendiri merisik dia dan memberi senaskah Al-Quran untuk dia fahami dan khatamkan.
Belum tahu destinasi bulan madu
Bercerita lebih lanjut, suaminya Nadzmi, 26, pula berkata mereka masih belum menetapkan sebarang tarikh untuk majlis resepsi mahupun bulan madu kerana terikat dengan beberapa projek dan tugasan.
Menurutnya, selepas ini Ardell akan terlibat dengan latihan untuk untuk misi kemanusiaan di Yaman dan Syria manakala dirinya pula akan terlibat dengan sesi penggambaran.
InsyaAllah bulan Oktober atau November depan baru akan diadakan majlis resepsi… honyemoon? Kami mungkin akan menunaikan umrah hujung tahun ini.
Viral video tangan Ardell menggeletar nak kena sarung cincin
Tah la moment ni is something… Jarang-jarang berlaku sekarang fuhh.
Anyway congrats newlyweds #nadzmiadhwa & #ardellaryana pic.twitter.com/cooHm7XmcF
— ? E U P H O R I A × (@kekraa_) September 1, 2019
Sementara itu, sepotong video pendek tentang detik Nadzmi menyarungkan cincin di jari Ardell selepas acara akad nikah juga viral di laman media sosial.
Video itu memaparkan Ardell yang kelihatan begitu gementar ketika Nadzmi ingin menyarungkan cincin di jari manisnya.
Pasangan itu sudah berkenalan sejak 8 tahun lalu dan selamat diijabkabulkan pada petang semalam di kediaman keluarga Ardell di Seri Kembangan, Selangor.
Pada majlis yang serba sederhana itu, Ardell menerima mas kahwin sebanyak RM300 berserta senaskhah Al-Quran daripada pihak Nadzmi.
Perkenalan mereka mula rapat pada tahun 2015 selepas penggambaran drama Namaku Bedah.