Pelakon jelita, Shilpa Shetty dibebaskan daripada tuduhan berkelakuan lucah apabila dicium secara terbuka oleh bintang Hollywood, Richard Gere dalam satu acara kesedaran Aids, 15 tahun lalu.
Pertuduhan diteruskan lebih sedekad
Menerusi laporan Independent, insiden 15 tahun lalu telah mencetuskan ketegangan dalam kalangan kumpulan radikal yang membakar patung selebriti berkenaan sebagai bantahan terhadap tindakan yang dilakukan itu. Kelakukan Shilpa Shetty pada masa tersebut dianggap sebagai penghinaan terhadap nilai masyarakat India. Seorang hakim tidak lama selepas itu telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Shilpa Shetty di atas tuduhan melakukan perbuatan lucah dan tidak senonoh.
Bercerita mengenai nasib Richard Gere pula, tuduhan terhadapnya tidak diteruskan dan pelakon tersebut dibenarkan kembali ke India untuk bertemu pemimpin tertinggi Buddha, Dalai Lama. Namun pertuduhan terhadap Shetty diteruskan lebih sedekad, sebelum pelakon itu akhirnya dibebaskan oleh mahkamah pada minggu lalu.
Mangsa kepada tertuduh
Menurut hakim, pertuduhan terhadap aktres itu tidak berasas dan dia tidak mengetahui tindakan Gere. Insiden pada 2007 itu berlaku apabila Gere secara spontan mencium tangan Shetty sebelum memeluknya. Ciuman itu dilakukan sekali lagi pada pipi ketika mereka berada di pentas.
Ini menunjukkan Shilpa Shetty adalah mangsa kepada tertuduh pertama.
Ujar peguam bela yang mewakili Shilpa Shetty pula, keseluruhan kes bersandarkan fakta bahawa dia tidak membantah apabila dia dicium oleh tertuduh. Setakat hari ini, pelakon filem ‘Dhadkan’ itu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan mahkamah.
Sumber: Independent