Tiada angin tiada ribut, nama Azharina Azhar kembali mencuri tumpuan netizen berikutan dia didakwa bercakap bohong mengenai isu lagu ‘La Bamba’ yang dinyanyikan di pentas All Stars Gegar Vaganza minggu kesepuluh, Ahad lalu.
Menerusi temu bual bersama OhBulan! Azharina tampil mengulas mengenai isu yang sedang hangat diperkatakan ini.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Netizen Dakwa Juri & Pihak Produksi GV All Stars ‘Terang-Terang’ Pilih Kasih, Tok Ram Siap Cakap ‘Macam Mana Dia Orang Kira?’
Pernah menyanyi dekat meja makan, dinner show?
Selepas selesai melakukan persembahan di minggu kesepuluh, Datuk Ramli MS bertanya kepada Azharina sama ada dia pernah membawakan lagu tersebut ataupun tidak. Ujar Datuk Ramli atau lebih mesra disapa sebagai Tok Ram, persembahan lagu ‘La Bamba’ yang dibawakan oleh Azharina kelihatan lebih menonjol jika dibandingkan dengan lagu ‘Rambu Ramba’.
Azharina, okay dua lagu. Lagu yang pertama dengan yang kedua. Lagu pertama saya rasa kamu tak pernah menyanyi. Lagu kedua yang biasa menyanyi. Biasa nyanyi. Takkan la tak pernah. Tapi biasa menyanyi la? Even dekat meja makan, dinner show? Dia ada dua perbezaan mood yang sama. Tapi yang satu tu kurang daripada yang nombor dua.
Sebab itu saya tanya kamu. Kamu sebenarnya punya teknikal yang sangat bagus. Stabil. Walaupun tadi ada sedikit rushing masa La Bamba, kamu pekik nafas kamu…ter’angsa’ sedikit. Perbezaan yang pertama itu saya pelik kenapa tak sebagus yang nombor dua?
Kamu kena ada satu jiwa yang bercampur tau..marah,gembira, sedih, prihatin apa semua, kelakar. Jadi bila kamu dapat lagu, kamu ada data yang cukup besar. So jiwa kamu boleh merangkumi semua lagu dengan baik. Pada saya, jiwa kamu harus belajar lebih. Kamu belajar menjiwai lagu dengan lebih, kamu akan jadi penyanyi yang bagus.
Berikutan daripada komen yang diberikan, Azharina mengakui kepada Tok Ram bahawa dia tidak pernah menyanyikan lagu tersebut di mana-mana pentas pertandingan, show, majlis rasmi mahupun di meja makan. Ujar Azharina, dia tahu mengenai kewujudan lagu tersebut dan pernah mendengarnya sewaktu kecil.
Saya tiga terbawah juga
Disoal mengenai video viral dan bukti yang dia pernah menyanyikan lagu tersebut di Sogo, lebih dari enam tahun yang lalu, Azharina berkata sebagai manusia biasa dia sememangnya tidak menyedari mengenai perkara itu. Ini kerana, persembahan tersebut dilakukan secara spontan dan bukannya di show mahupun pertandingan.
Sebab itu saya jawab saya tak pernah menyanyi lagu La Bamba ini di mana-mana pertandingan, acara rasmi mahupun show dekat Tok Ram secara profesional. Kalau pertandingan dan show-show besar sudah pasti saya akan ingat sebab saya sendiri akan buat persediaan lebih awal.
Tapi video viral itu masyarakat boleh lihat dan fikir sendiri, saya bersama buskers pada masa itu. Lagu itu pun dibawakan secara spontan tanpa sebarang persediaan. Saya main hentam sahaja. Bukan di atas pentas yang mega mahupun show yang berbayar. Lirik dan sebutan saya pun masa itu pun tak okay. Di GV, saya memang berusaha keras sehingga pergi ke kelas sebutan bahasa Sepanyol sebab saya tahu ini pentas yang sangat besar dan berprestij. Saya kena ada usaha dan kerja keras.
Berbalik kepada pertanyaan Tok Ram yang menjurus kepada pernah menyanyi atau tidak lagu tersebut secara profesional, itu memang tidak pernah la. Busking tu dekat tepi jalan. Betul kan apa yang saya jawab? Lagipun, tak apalah saya tetap dapat kedudukan tiga terbawah juga kan. Kalau saya jadi juara lain la cerita.
Di akhir temu bual, Azharina berkata dia akan memberikan yang terbaik buat peminatnya memandangkan pertandingan tersebut hampir ke kemuncak. Tambahnya lagi, dia sekadar mahu menghiburkan para peminat dan mereka yang sentiasa mendoakannya.
Secara jujur, saya dah lama berhenti menyanyi untuk para juri. Saya mahu menghiburkan peminat dan semua yang mendoakan saya. Bila fikir macam ini saya akan lebih gembira tatkala melakukan setiap persembahan.
Saya anggap ini sebagai cara saya untuk ‘reverse psikologi’ agar tidak terlalu tertekan. Lagipun, peminat dan netizen sekarang bukan macam dahulu, mereka boleh menilai dengan sangat baik.
Jadi tanpa mereka, saya tidak akan berada di tahap ini. Buat mereka yang ingin menjatuhkan saya, saya serahkan segalanya kepada Allah. Allah maha melihat dan mendengar setiap doa hambanya.
Terdahulu, rata-rata netizen mula meletakkan tanda pagar #Justice4Azharina selepas pelantun ‘Rawan’ itu berada di kedudukan tiga terbawah sejak minggu lalu. Ujar netizen, Azharina tidak layak berada di tiga terbawah kerana persembahannya lebih memukau daripada peserta lain.