berita

Didakwa Dikasari Penguatkuasa Ketika Berniaga, Anak Dedah Cerita Sebenar, Ebit Lew Tampil Bantu

July 15th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah ungkapan yang paling sesuai menggambarkan situasi yang dihadapi seorang pak cik ini apabila dia didakwa telah dihalau dan ‘dikasari’ gara-gara tidak memiliki lesen perniagaan.

Terbaru, anak kandung pak cik ini iaitu Siti Norfadhilla menerusi akaun Facebooknya telah bersuara dan menceritakan perkara sebenar terutama dalam soal pemilikan lesen perniagaan.

Bapa hanya mencari rezeki

Assalamualaikum saya anak kandung kepada orang tua yang kalian kasari tu. Dia tu ayah saya. Saya mengaku memang dia degil dan kami pernah membuat permohonan lesen dll tapi tak diluluskan mungkin atas faktor lokasi atau lain-lain. Tapi ayah saya tiada pilihan lain dan tempat lain dan dia hanya boleh menjual jagung dan disahkan menghadapi Retinitis Pigmentosa yang menggaggu penglihatan ayah saya. Untuk pengetahuan kalian ayah saya marah dalam video ni sebab mereka datang tinggikan suara. Jagung inilah mata pencarian untuk kami, saya masih belajar dan belum bekerja berasa sangat kecewa kerana belum mampu membantu ayah saya. Dia memang sangat tertekan kerana tidak nampak jalan keluar untuk mencari sumber pendapatan dengan keadaan mata yang macam tu. Kami ada 6 orang adik beradik dan 5 orang yang masih belajar termasuk saya. Seandainya dah tamat belajar dan sudah bekerja, saya takkan biar ayah kami macam ni . Dia cuma ingin mencari sesuap nasi bukan merompak. Saya sangat kecewa dengan semua ni .

Menerusi perkongsian yang dimuatnaik Norfadhilla, dia memaklumkan bahawa bapanya tiada pilihan lain dan bernekad untuk menjual jagung di tepi kaki lima untuk menampung keperluan anak-anaknya yang kebanyakannya masih belajar.

Perkongsian tersebut viral di media sosial dan telah mendapat perhatian daripada netizen yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib malang yang menimpa keluarga ini. Mereka turut menghulurkan bantuan dari segi kewangan kepada pak cik ini dan keluarga. Selain itu Tuan Mohd Sany Hamzan iaitu Adun Taman Templer bersama orang-orang kuat beliau turut datang ke rumah menghulurkan sumbangan dan membantu memberi jalan untuk menyelesaikan isu pak cik ini.

Kunjungan Ustaz Ebit Lew

Bukan itu sahaja, perkongsian tersebut berjaya menarik perhatian pendakwah bebas yang sangat terkenal dengan sikap dan keprihatinannya dalam membantu golongan yang memerlukan iaitu Ustaz Ebit Lew. Beliau juga sempat bertemu dengan pak cik ini dan menghulurkan sedikit bantuan kepadanya.

Sedih sangat rasa. Semalam tengok video pakcik ini tengah berniaga jagung di selayang. Pakcik rabun 90 peratus penglihatan tak nampak. Cuma 10 peratus tinggal. Nampak bayang je. Muka semua dah tak boleh nampak. Kasihan rasanya. Berniaga jagung disitu dah 5 tahun. Dari dulu ini je kerjanya cuma di tempat lain. Anak semua masih sekolah. 5 masih belajar lagi. Semua rajin-rajin. 2 orang di universiti. Ada anaknya yang cuti sekolah bawa food panda.

Pakcik ni sehari dapat rm50 jika habis jagungnya. Dalam seminggu dah 3 kali semua jagung kena rampas. Yerlah berniaga disitu salah sebab tiada lesen. Tapi saya rasa kasihan padanya. Baik pakcik ni. Saya tak salahkan sesiapa cuma terfikir macam mana nak bantu pakcik ini. Dengan rendah diri saya merayu MPS dapat membantu pakcik ini. Segala pertolongan kepada pakcik ini saya dahulukan ucapan terima kasih.

Dah 5 tahun berniaga

Rezeki dan ujian masing-masing. Kita sebagai saudara tugas membantu mereka. Saya hadiahkan rm1ribu dan tanya jika perlu bantuan apa-apa. Pakcik ni sebak dan tak ingin yang lain-lain.

Pakcik ini dan isteri berniaga buah sikit je tepi jalan. Mereka kenal saya. Selalu tengok video dan ceramah saya. Katanya dapat jumpa ustaz dah bahagia. Mereka tak nak apa-apa. Gembira rasa. Pelukan dengan tangisan sebak. Bila saya tanya apa saya boleh bantu. Pakcik ni taknak apa-apa dari saya. Sabarlah pakcik. Saya doakan Allah mudahkan rezeki pakcik makcik dan anak-anak. Semoga anak semua jadi anak yang baik dan hebat.

Bercerita lanjut mengenai pak cik ini, Ustaz Ebit Lew memaklumkan bahawa pasangan suami isteri ini sudah hampir 5 tahun berniaga di kaki lima cuma di lokasi yang berbeza. Dalam kesempatan itu, Ustaz Ebit Lew turut mendoakan agar pak cik sekeluarga dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan.

Keluarga sudah maafkan

Assalamualaikum dan salam sejahtera . Di sini saya hanya ingin menyampaikan kata2 dari ibubapa saya. Mereka yang menyuruh saya menyampaikan ini: “Kepada semua, kami sekeluarga telah memaafkan semua anggota2 penguatkuasa tersebut . Saya harap hentikanlah semua kecaman yang menyeksa mereka. Harap jangan mengambil tindakan terhadap mereka. Kita semua buat salah takda yang sempurna . Kami seikhlas hati telah memaafkan mereka. Saya faham apa yang mereka rasakan sekarang . Harap kita semua dapat memaafkan mereka”

Sementara itu, menerusi perkongsian terbaru Siti Norfadhilla di Facebook, dia memaklumkan bahawa mereka sekeluarga sudah memaafkan penguatkuasa yang terlibat dalam kejadian tersebut. Selain itu, Norfadhilla turut meminta orang ramai supaya memaafkan kesilapan yang dilakukan mereka.

Sumber: Siti Norfadhilla, Ustaz Ebit Lew

SKIP THIS AD ×