berita

Didakwa Sengaja Biarkan Bekas Kekasih Bunuh Rakan, Pelajar Dari China Ini Masih Enggan Dedah Kisah Sebenar

July 10th, 2021 | by Amat
Kini Trending

Sumber foto: Sixth Tone

Seorang pelajar perempuan tergamak menjadikan rakan serumahnya sebagai ‘korban’ kepada bekas teman lelaki. Ini merupakan kisah benar yang berlaku di Tokyo, Jepun pada sekitar tahun 2016 sewaktu mangsa Jiang Ge yang baru berusia 24 tahun dari China berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Hosei, Tokyo.

Secara kebetulan, dia kemudiannya bertemu semula dengan bekas rakan sekelas ketika di sekolah menengah dahulu iaitu Liu Xin dan mereka sama-sama melanjutkan pelajaran di universiti tersebut. Konflik peristiwa malang Jiang Ge mula berlaku selepas mereka berkawan baik dan tinggal serumah.

Bersimpati dengan nasib rakan

Menurut laporan China Daily, difahamkan Liu Xin bergaduh dengan teman lelakinya bernama Chen Shifeng dan dia diusir untuk keluar dari apartment teman lelakinya itu. Hubungan kekasih ini telahpun putus selepas berlaku pertelingkahan di antara mereka berdua.

Tiada tempat untuk bergantung, Liu Xin mula menghubungi Jiang Ge dan meminta untuk tinggal bersama di sebuah apartment sebagai penghuni yang tidak sah di situ. Malah, Jiang Ge bersimpati dengan nasib yang menimpa Liu Xin dan mengambil keputusan untuk membenarkan rakannya itu tinggal bersama tanpa pengetahuan pemilik kediaman tersebut.

Pada 2 November 2016, Chen, bekas teman lelaki Liu Xin datang ke kediaman Jiang Ge untuk memujuk semula kekasihnya itu. Bagaimanapun, usaha tersebut gagal apabila berakhir dengan pertengkaran antara mereka. Susulan itu, Jiang Ge bertindak ingin menelefon pihak polis dan melaporkan kejadian tersebut, namun, dihalang oleh Liu Xin yang tidak mahu kes ini dibesarkan. Selain, khuatir statusnya di situ sebagai penyewa tidak sah diketahui pemilik aparment. Pertengkaran tersebut selesai apabila Chen mengambil keputusan untuk beredari dari situ.

Terima panggilan ugutan dari bekas kekasih

Foto: YouTube

Difahamkan, pada hari yang sama, Liu Xin telah menghubungi Jiang Ge untuk menjemputnya di sebuah stesen kereta api yang berdekatan dengan rumah mereka. Ini kerana Liu Xin khuatir dirinya dijumpai oleh Chen kerana sebelum ini dia telah mendapat panggilan ugutan daripada bekas teman lelakinya itu.

Sebaik sahaja tiba di apartment, Liu Xin segera masuk ke dalam rumah dan menuju ke bilik air untuk membersihkan dirinya. Tiba-tiba dia terdengar suara jeritan Jiang Ge yang masih berada di luar rumah. Dia segera ke arah pintu dan gagal membuka pintu tersebut dengan luas sepertinya pintu tersebut disekat dari arah luar.

Rentetan daripada itu, Liu Xin segera menghubungi pihak polis dan melaporkan peristiwa tersebut. Pihak polis tempatan telah menemui Jiang Ge yang sudah terbaring di koridor rumah dengan keadaannya yang dipenuhi darah dipercayai ditikam oleh seseorang.

Malangnya, Jiang Ge tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia di hospital. Berita kematian Jiang Ge memberi kesan kepada ibunya iaitu Jiang Qiulian. Sejak daripada peristiwa hitam yang menimpa anak perempuannya itu, Liu Xin dilaporkan langsung tidak memberi penjelasan mengenai punca kematian Jiang Ge. Sebarang panggilan telefon juga tidak dijawab Liu Xin, apatah lagi ucapan takziah daripadanya.

Ibu mangsa sebar maklumat di media sosial

Foto: YouTube

Menurut laporan tempatan, ibu mangsa mempercayai Liu Xin menyedari akan kehadiran bekas teman lelakinya untuk datang ke apartment tersebut dan dia tergesa-gesa masuk ke dalam rumah. Lalu, dibiarkan Jiang Ge seorangan di luar rumah untuk dijadikan mangsa keadaan. Chen Shifeng bagaimanapun telah berjaya ditangkap pihak polis pada 24 November 2016.

Disebabkan Liu Xin tidak memberi kerjasama kepada ibu mangsa, Jiang Qiulian difahamkan telah bertindak menyebarkan segala maklumat mengenai Liu Xin di media sosial demi menegakkan keadilan buat mendiang anaknya. Kesan daripada tindakan ibu mangsa, Liu Xin dikecam netizen China dan gambarnya mula tersebar luas di semua platfom media sosial.

Masih tutup mulut

Foto: YouTube

Akhirnya, pada bulan Ogos 2017, Liu Xin mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Jiang Qiulian bersemuka dan pertemuan pertama mereka ini mendapat liputan meluas daripada media tempatan. Liu Xin meminta maaf berkali-kali kepada ibu mangsa, namun, permohonan maaf tersebut enggan diterimanya kerana Liu Xin mengambil keputusan untuk mendiamkan diri sebelum ini.

Demi menegakkan keadilan buat anaknya, Jiang Qiulian telah melancarkan petisyen bagi menuntut Chen Shifeng dikenakan hukuman mati. Dilaporkan, seramai 4.5 juta orang telah menandatangani petisyen tersebut.

Berdasarkan perbicaraan mahkamah, suspek hanya dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun. Jiang Qiulian terpaksa akur dengan keputusan pihak mahkamah kerana gagal mendesak untuk suspek dijatuhkan hukuman mati. Masih menjadi persoalan sehingga kini, Liu Xin enggan membuka mulut memberi kenyataan dan menceritakan perkara sebenar yang telah berlaku pada malam kejadian.

Pertemuan pertama

Sumber: China Daily, Sixth Tone, YouTube

SKIP THIS AD ×