Pelakon dan penyanyi Diddy Hirdy atau lebih dikenali dengan Diddy AF4, kini lebih fokus dalam bidang lakonan. Terbaru, dia sedang menjalani pengambaran filem seram “Sunti@Facebook” yang juga merupakan filem keduanya selepas filem “Paku”.
Ketika dilokasi penggambaran baru-baru ini, OHBULAN! sempat menemubual pelakon dan penyanyi ini mengenai perkembangan kerjayanya yang dilihat semakin menyepi dalam arus seni.
Menurutnya, dia hanya menyepi dari segi publisiti tetapi masih lagi bergiat aktif dengan memenuhi jemputan-jemputan untuk persembahan dari badan-badan tertentu dan jadualnya juga agak padat setiap bulan dengan pelbagai aktiviti.
Dalam masa yang sama Diddy juga sedang melanjutkan pelajarannya di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam Kursus Ijazah Komunikasi secara separuh masa. Bukan itu sahaja, dia juga sedang mendalami seni vokalnya di Royal School Of Music.
“Buat masa sekarang saya memang sibuk dengan pembelajaran saya dan mungkin itu salah satu sebab saya kurang publisiti dalam industri hiburan. Walaupun saya kurang dari segi publisiti, Alhamdulliah rezeki tetap ada. Saya masih lagi menerima permintaan untuk membuat persembahan dan tawaran berlakon,” ujar Diddy.
Beberapa bulan lepas, Diddy Hirdy telah dilantik secara rasminya oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sebagai Ikon Pembelajaran Sepanjang Hayat kerana pencapaiannya dalam bidang akedemik begitu memberangsangkan dan mendapat anugerah dekan setiap semester.
Menurut Diddy, dia perlu memperkemaskan kerjayanya dan tidak tertumpu kepada satu bidang sahaja kerana mempunyai tanggungjawab yang lebih besar setelah bergelar suami dan bapa kepada anak perempuannya (Nadra Arissa Jauza). Baginya popularitinya menurun bukan kerana sudah berkahwin tetapi bukan rezekinya lagi.
“Saya tak setuju populariti kurang disebabkan saya sudah berkahwin kerana masih ada yang meminati saya bukan kerana saya ‘single’ tetapi bakat nyanyian dan lakonan yang saya miliki. Saya sentiasa sabar dan berusaha dengan pembelajaran,” ujar Diddy lagi.
Terbaru Diddy telah bekerjasama dengan Pekin dalam proses menghasilkan ‘single’ baru untuk ‘soundtrack’ filem “Paku”.